X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Vaksin: 30.1 peratus daripada 2.53 juta pelajar terima dos pertama

Hang Soon (berdiri kanan) melihat proses pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah ketika melakukan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Encore Melaka sempena Program Imunisasi Covid-19-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Kota Syahbandar pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Sebanyak 30.1 peratus daripada keseluruhan 2.53 juta pelajar berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 sehingga Sabtu, kata Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata, daripada jumlah itu juga 4.4 peratus pelajar telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 yang dilaksanakan di 687 pusat pemberian vaksin (PPV) awam, sekolah, institusi pengajian tinggi, klinik kerajaan dan balai polis.

"Sebanyak 63.3 peratus daripada 834,857 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun telah menerima dos pertama, manakala 10.9 peratus daripada 1.64 juta pelajar berusia 12 hingga 15 tahun mendapat dos pertama mereka.

"Secara keseluruhan, program pemberian vaksin melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara berjalan lancar dan mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PPV Encore Melaka sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Kota Syahbandar di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Senator Datuk Lim Ban Hong dan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka, Dr Mohd Azam Ahmad.

Mengulas lanjut Mah berkata di Melaka, sebanyak 50.1 peratus daripada 26,683 pelajar berusia 16 hingga 17 tahun telah mendapat dos pertama, manakala bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun sebanyak 11.5 peratus daripada 51,284 pelajar telah menerima dos pertama di sembilan PPV awam melibatkan 76 sekolah menengah.

Beliau berkata, pihaknya menerusi Jabatan Pendidikan Negeri sedang melakukan pelbagai usaha untuk menggalakkan lebih banyak ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

"Kita masih berada di peringkat awal PICK Remaja ini dan kita sedang memantau pelaksanaan program ini untuk melihat usaha yang boleh dilakukan bagi menggalakkan lebih ramai pelajar menerima vaksin," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!