JPJ tambah bilangan penguji selesai isu ujian lesen tertunggak

Aedy Fadly (dua dari kiri) bersama Zulkarnain (kiri) memeriksa kenderaan di Institut Memandu Bitara yang beroperasi di Padang Midin, Kuala Terengganu ketika sesi lawatan kerja ke negeri ini pada Ahad.
Aedy Fadly (dua dari kiri) bersama Zulkarnain (kiri) memeriksa kenderaan di Institut Memandu Bitara yang beroperasi di Padang Midin, Kuala Terengganu ketika sesi lawatan kerja ke negeri ini pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menambah sehingga 20 peratus bilangan penguji bagi menyelesaikan isu ujian lesen memandu tertunggak membabitkan 462,124 calon bagi semua jenis kelas kenderaan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, masalah membabitkan calon ujian lesen memandu yang tertunggak di 232 institut memandu (IM) itu dijangka akan selesai hujung Disember.

"Setakat ini, terdapat 530 bilangan penguji di seluruh negara dan kita akan tambah 10 hingga 20 peratus penguji lagi bagi melancarkan proses ujian bagi calon yang tertunggak.

"Bilangan calon setiap negeri telah juga dihantar ke ibu pejabat di Putrajaya bagi mengenalpasti bilangan penguji tambahan yang akan dihantar bersesuaian dengan kuota calon bagi setiap IM," katanya pada sidang akhbar selepas melawat IM Bitara di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.

Dalam pada itu, Aedy Fadly menyarankan supaya IM memberi keutamaan kepada calon tertunggak disebabkan proses yang tergendala susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, JPJ akan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di semua IM secara berkala mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

"Setakat ini, hasil pemantauan unit naziran IM khususnya di Terengganu mendapati kebanyakan IM beroperasi mengikut SOP ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Pemantauan ini akan mengesan kes melibatkan penerimaan calon bukan warganegara, tidak mengemaskini senarai Sijil Kenderaan Institut Memandu (SKIM), pemasangan cermin gelap kenderaan serta gagal menyediakan senarai kenderaan ujian dan senarai petugas pada hari ujian," katanya.