Pakar ekonomi persoal ketiadaan dana politik dalam MoU

Dr Edmund Terence Gomez
Dr Edmund Terence Gomez
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis ekonomi, Dr Edmund Terence Gomez mempersoalkan ketiadaan sebarang perkara berhubung pendanaan politik dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan pihak pembangkang.

Menurut Edmund, aspek pendanaan politik perlu diberi perhatian serius memandangkan ia bakal memberi impak kepada proses untuk membentuk sistem pilihan raya yang telus dan adil.

“Parti politik nampaknya enggan memperkenalkan perkara ini, apa sebab yang memakan masa begitu lama untuk membentangkan perkara ini. Dua tahun berkuasa namun masih belum dibentangkan.

“Saya rasa tak perlu bersusah payah untuk mempersoal perkara ini kerana ia sudah mula dibangkitkan oleh pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam webinar Money Politics: 'Reform for Electoral Campaign Financing, Clean Up Time?' pada Sabtu.

Turut hadir sebagaai panel ialah Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan; Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Thomas Fann; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis, manakala Alan Kirupakaran bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Kian Ming berkata, peruntukan sama rata yang akan diberikan kepada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang melalui MoU yang ditandatangani menunjukkan kematangan dalam sistem politik tanah air.

Artikel Berkaitan:

Kian Min
Kian Min

Jelasnya, meskipun peruntukan sama rata itu tidak memberi kesan yang besar terhadap aspek pendanaan politik, ia sedikit sebanyak mampu membantu pihak pembangkang dalam menjalankan urusan mereka.

“Hakikatnya ia membantu pihak pembangkang terutama yang melibatkan pendanaan politik,” katanya.

Turut senada dengan Kian Ming berkaitan peruntukan tersebut ialah Mukhriz.

Kata Mukhriz, beliau merupakan individu pertama yang melakukan perkara tersebut iaitu memperuntukkan dana kepada pihak pembangkang ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Kedah sebelum ini.

“Saya berharap akan lebih banyak perubahan akan berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Mukhriz
Mukhriz