Kim Swee mahu fokus perkukuh Sabah FC

Bung Moktar bersama pengendali baharu Sabah FC, Kim Swee menunjukkan dokumen kontrak perjanjian yang ditandatangani dengan Sabah FC di Sabah International Convention Center (SICC) malam tadi. - Foto Bernama
Bung Moktar bersama pengendali baharu Sabah FC, Kim Swee menunjukkan dokumen kontrak perjanjian yang ditandatangani dengan Sabah FC di Sabah International Convention Center (SICC) malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

PENGURUSAN Sabah FC tidak meletakkan sebarang sasaran piala atau kedudukan liga, sebaliknya mahu pasukan The Rhinos itu diperkukuhkan supaya mampu bersaing dengan pasukan lain dalam Liga Super dan di peringkat lebih tinggi, kata ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee berkata, hasil perbincangannya dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan pengurusan Sabah FC, usaha mengukuhkan pasukan itu lebih terarah kepada mempersiapkan skuad Sabah FC menghadapi saingan Liga Super musim depan dengan pelbagai perancangan.

Selain itu, bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu berkata, beliau diberi tanggungjawab memastikan program pembangunan pemain muda di negeri itu mampu melahirkan bakat baharu untuk diketengahkan sebagai pemain senior Sabah FC kelak.

"Ini tanggungjawab yang besar dan apabila berbincang dengan Datuk Seri (Bung Moktar Radin) serta pengurusan Sabah FC, kita tidak meletak sebarang sasaran tinggi, di sini kita perlu realistik... matlamat kita untuk jadi lebih baik dalam Liga Super 2022.

"Sudah tentu kehadiran saya di sini bukan tertumpu kepada pasukan senior sahaja, sebaliknya perlu sentuh semua peringkat di Sabah untuk kita cungkil bakat muda bagi diketengahkan dengan kualiti masing-masing," katanya pada sidang media di sini malam Jumaat.

Kim Swee ditemui pada majlis menandatangani perjanjian kontrak selama dua tahun beliau bersama Sabah FC, yang turut dihadiri Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Ditanya tentang persiapan Sabah FC menghadapi Piala Malaysia, ketua jurulatih berusia 50 tahun itu berkata, beliau mahu semua pemain mengambil pendekatan satu permainan pada satu masa dan mempamerkan semangat juang yang tinggi.

"Semangat juang ini saya harap dapat kita tunjuk pada perlawanan pertama dengan PJ City FC, kemudian dengan Kelantan FC, jika mampu capai dua kejayaan ini peluang kita lebih terbuka ke suku akhir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada saingan Piala Malaysia musim ini, Sabah FC diundi dalam kumpulan D bersama Johor Darul Ta'zim FC, PJ City FC dan Kelantan FC.

Pasukan The Rhinos itu bakal menghadapi perlawanan pertama Isnin ini (27 Sept) melawan PJ City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, Sabah FC tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada Kim Swee dan pemain, sebaliknya ingin melihat mereka memberikan komitmen tinggi dalam permainan serta berusaha mengukuhkan pasukan.

"Kita menaruh kepercayaan kepada beliau (Kim Swee) dan pemain, jangan kita harap menang terus kerana kita lihat pemain bertaraf dunia bernilai ratusan juta juga boleh gagal jaringkan gol. Jangan kita tekan untuk menang sebaliknya bermain dengan komitmen tinggi," katanya.

Beliau juga meminta maaf kepada peminat berikutan deretan kekalahan pasukan itu pada saingan Liga Super baru-baru ini dan menyeru semua supaya tidak menoleh ke belakang sebaliknya bersama sebagai satu pasukan memberi saingan lebih mantap pada masa akan datang. - Bernama