Tambah Rumah Keluarga Malaysia, pengecualian bayaran 6 bulan

Ismail Sabri (tengah) menghadiri Majlis Pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini. - 
Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) menghadiri Majlis Pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini. - 
Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan melancarkan Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia atau Rumah Ikram Keluarga Malaysia dengan tambahan 2,000 unit berbanding asalnya hanya 1,000 unit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 10,000 isi rumah yang memerlukan.

Katanya, keputusan itu dicapai setelah perbincangan antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pihak Berkuasa Negeri.

"Bagi mengurangkan tekanan dan bebanan kepada penerima inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia, sukacita juga saya umumkan bahawa semua penerima manfaat akan diberikan pengecualian bayaran sehingga enam bulan bermula dari tarikh menerima kunci.

"Pengecualian bayaran sewa ini akan ditanggung oleh kerajaan dengan melibatkan peruntukan kira-kira RM3 juta," katanya ketika melancarkan Rumah Keluarga Malaysia itu yang disiarkan secara langsung di Facebook KPKT pada Jumaat.

Turut sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Dr Ismail Abd Muttalib dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan.

Ismail Sabri menjelaskan, pengecualian itu bagi membolehkan rakyat penerima manfaat khususnya ketua isi rumah dapat menumpukan usaha merancakkan ekonomi keluarga," katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan khabar gembira khususnya kepada penghuni sedia ada di kawasan PPR.

Artikel Berkaitan:

"Sukacita saya maklumkan bahawa program moratorium bayaran sewa kepada penghuni PPR sedia ada di bawah kawal selia dan pengurusan KPKT, akan diteruskan sehingga akhir tahun 2022," ujarnya.

Katanya, langkah berkenaan akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 ketua isi rumah atau 50,000 penghuni PPR, dengan melibatkan tanggungan kewangan kerajaan berjumlah RM18.84 juta.

"Inilah sebahagian daripada usaha kita, inisiatif kita, ikhtiar kita untuk Keluarga Malaysia yang memerlukan," katanya.

Menurutnya, langkah dan pendekatan yang diperkenalkan oleh KPKT melalui Inisiatif Kediaman Rumah Keluarga Malaysia merupakan satu inisiatif yang tepat pada masanya dan merupakan langkah penampan yang boleh kerajaan berikan kepada rakyat yang memerlukan.

Jelas beliau, Rumah Ikram Keluarga Malaysia itu menjadi teduhan kepada Keluarga Malaysia yang kehilangan dan kekurangan pendapatan, atau mungkin juga kehilangan pekerjaan, sehingga tidak lagi mampu membayar sewa rumah yang tinggi. Begitu juga ada yang terdesak menumpang di rumah saudara mara kerana terpaksa keluar dari rumah sewa.

Pada awalnya sebanyak 1,000 unit Rumah Ikram Keluarga Malaysia disediakan sebagai permulaan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (atau PPR) di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Kelantan dan Johor dengan kadar sewa minimum, iaitu 124 ringgit sebulan selama tempoh maksimum dua tahun.

Ismail Sabri berkata, beliau memahami bahawa 1,000 unit rumah di 11 kawasan PPR yang berada di bawah kawal selia dan pengurusan KPKT, tidak mencukupi untuk menjadi tempat berlindung bagi Keluarga Malaysia yang terkesan akibat hilang mata pencarian.

"Ini kerana 139 projek PPR lain telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Negeri," katanya.