Sabah kemuka hampir 20 isu dalam mesyuarat Majlis Khas MA63

Hajiji ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam sidang DUN Sabah.
Hajiji ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam sidang DUN Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan hampir 20 isu dikemukakan secara bertulis dalam mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hajiji berkata, kerajaan Sabah mempunyai senarai panjang berhubung tuntutan berkenaan dan beliau sudah dua kali menghadiri mesyuarat terbabit.

"Saya telah mengemukakan hampir 20 isu-isu secara bertulis di dalam mesyuarat tersebut.

"Jadi harapan kita supaya isu-isu atau tuntutan yang menjadi hak kita selama ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan," katanya bagi menjawab soalan daripada Assafal P Alian (Warisan-Warisan) ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Beliau berkata demikian selepas diminta memberi penjelasan berhubung ucapan dasar kerajaan mengenai tuntutan hak hasil melalui MA63.

Diminta mengulas bagaimana maklum balas daripada Perdana Menteri berhubung tuntutan berkenaan, Hajiji memaklumkan bahawa mereka tidak menolaknya, namun memerlukan masa untuk mengkaji perkara itu.

"Respons memang baik, mereka tidak juga menolak apa yang kita utarakan tetapi memanglah dalam mesyuarat itu mereka mungkin memerlukan masa dan juga kajian serta pelbagai alasan tetapi Insya-ALLAH, kita akan terus pertahankan," katanya.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, hak dan kepentingan Sabah terutama membabitkan bayaran yang meliputi semua yang dituntut memang menjadi keutamaan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Perkara ini menjadi keutamaan kepada pihak kerajaan dan kita sedang meneliti perkara-perkara yang menjadi kepentingan kita bersama untuk kita terus memberitahu kepada kerajaan Persekutuan tentang hak-hak dan kepentingan negeri Sabah terutama bayaran yang meliputi semua yang kita tuntut," katanya.