X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

Kereta terbakar selepas langgar dua kenderaan di lampu isyarat

Tangkap layar menunjukkan sebuah kereta terbakar selepas berlaku pelanggaran di Kilometer 57.5 Jalan Alor Setar-Butterworth dekat Tanah Perkuburan India, Sungai Petani pada Khamis.
A
A

SUNGAI PETANI - Sebuah kereta terbakar akibat kerosakan enjin selepas melanggar dua buah kenderaan lain yang sedang berhenti di lampu isyarat merah.

Kejadian yang tular di media sosial berlaku di Kilometer 57.5 Jalan Alor Setar-Butterworth dekat Tanah Perkuburan India, Sungai Petani kira-kira jam 1 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, ketiga-tiga kenderaan itu bergerak dari arah sama iaitu arah Lagenda Heights ke arah pusat bandar Sungai Petani.

Menurutnya, kenderaan jenis Hyundai Elantra yang dipandu seorang wanita berusia 31 tahun itu telah mengalami kebakaran di bahagian enjin setelah berlanggar dengan kereta jenis Proton Persona dan Honda City yang sedang berhenti di lampu isyarat.

"Kemalangan dipercayai berlaku semasa wanita terbabit yang datang dari arah belakang, gagal membrek lalu melanggar bahagian belakang Proton Persona.

"Akibat perlanggaran itu, Proton Persona yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun terlajak ke hadapan dan melanggar sebuah lagi kereta di hadapan iaitu Honda City yang dipandu wanita berusia 30 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Adzli, pemandu lelaki tersebut mengalami kecederaan di bahagian hidung manakala dua pemandu lain tidak mengalami kecederaan.

"Kejadian turut menyebabkan kesesakan di kedua-dua arah laluan terlibat.

"Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!