Lelaki Rohingya mengaku guna MyKad individu lain tanpa kebenaran

BUTTERWORTH - Seorang lelaki Rohingya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini ke atas pertuduhan menggunakan kad pengenalan individu lain dalam urusan kad Touch n Go.
Ajimul Khan Shafiullah, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal pada Jumaat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sambilan dituduh menggunakan kad pengenalan milik S Ganesan tanpa kuasa sah bagi tujuan pendaftaran untuk menggunakan kad Touch n Go.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Bertam 2, Kepala Batas pada jam 4 petang, 3 November lalu.
Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D9 di hadapan Blok B, Apartment Sri Kotong, Batu Caves, Selangor, kira-kira jam 1.40 petang, 3 November lalu.
Pemeriksaan terhadap telefon bimbit tertuduh kemudian membawa kepada penemuan penggunaan kad pengenalan milik individu berkenaan tanpa kebenaran bagi mendaftarkan akaun Touch n Go.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Oppo A78, sekeping kad Touch n Go serta sepucuk surat daripada pihak Touch n Go atas nama S Ganesan untuk membantu siasatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Lim Zhan Yi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Peguam tertuduh, Ahmad Faris Khairudin dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dengan mengambil kira pengakuan salah anak guamnya yang menjimatkan masa dan kos perbicaraan.
"Anak guam saya amat menyesal dan memohon maaf kepada mahkamah serta negara kerana mendakwa tidak mengetahui peraturan berkenaan, selain mendapatkan khidmat seorang ejen untuk urusan pendaftaran kad tersebut.
"Selain itu, tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan bulanan kira-kira RM1,200. Dia pula penanggung tunggal keluarga dengan empat orang anak selain isterinya tidak bekerja," katanya.
Aini Adilah kemudiannya menetapkan denda RM3,500 terhadap tertuduh dan sekiranya gagal bayar, tertuduh boleh dikenakan penjara lima bulan.
Ahmad Faris ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan, tertuduh telah membayar wang denda berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

