X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Perlombongan pasir didakwa punca pencemaran sungai

Rosleli menunjukkan keadaan air sungai Lok Heng-Waha, Kota Tinggi, pada Khamis menjadi keruh dan mengalir ke loji rawatan air Gugusan Lok Heng yang menjadi punca utama air penduduk setempat.
A
A

KOTA TINGGI - Penduduk Felda Lok Heng di sini bimbang pencemaran di Sungai Lok Heng-Waha dekat ini sejak dua minggu lalu yang didakwa berpunca daripada aktiviti perlombongan pasir di kawasan berdekatan.

Seorang penduduk, Mohd Shahrudin Isa, 40, berkata, tindakan segera perlu diambil termasuk mengambil sampel air sungai itu bagi mengetahui tahap pencemarannya.

"Kami risau keadaan bertambah teruk apabila air sungai itu mengalir masuk dan menjejaskan loji rawatan air Gugusan Lok Heng yang menjadi punca air utama penduduk kawasan berkenaan.

"Pencemaran ini disedari selepas warna air Sungai Lok Heng-Waha yang mengalirkan air ke loji rawatan berubah menjadi keruh.

"Ini amat membimbangkan kerana sungai itu satu-satunya sumber air yang digunakan penduduk untuk memasak serta melakukan aktiviti harian," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mus, 55, berkata, penduduk bimbang sekiranya kandungan air tersebut akan menjejaskan kesihatan mereka.

"Sudahlah kita sedang berdepan Covid-19, tidak mahu sakit lain pula datang selepas ini," katanya lagi.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Rosleli Jahari berkata, pihaknya sudah membawa perkara itu kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

Beliau dimaklumkan, keadaan itu berpunca daripada satu empangan di lombong pasir berkenaan telah pecah namun pembaikan telah dilakukan.

Katanya, pihak pentadbir tanah daerah sudah mengeluarkan notis penutupan sementara aktiviti perlombongan pasir sehingga selesai siasatan.

Bagaimanapun beliau amat kecewa kerana keadaan masih sama pada hari ini kerana air sungai berkenaan masih dalam keadaan keruh.

"Selaku wakil rakyat saya akan meminta pihak kerajaan Johor walaupun selepas pembaikan dilakukan, projek ini mestilah ditutup sehingga projek bekalan air bersih di Gugusan Lok Heng dan Waha diatasi dan diselesaikan.

"Kita harap pengekalan tanah berstatus Akta Penempatan Berkelompok (GSA) yang diadakan kerajaan Persekutuan janganlah dicabuli dengan menukar kepada selain daripada penanaman getah, kelapa sawit, berlandaskan pertanian dan bukannya perlombongan dan pembangunan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!