X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Kastam rampas dadah bernilai RM1 juta

Abdul Latiff (dua kanan) menunjukkan barangan yang dirampas dalam sidang akhbar berkenaan.
A
A

SEREMBAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah apabila menahan lima lelaki dan merampas dadah jenis methamphetamine bernilai RM1 juta di Puchong, Selangor yang 13 September lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, sepasukan anggota Kastam dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah menahan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki dua lelaki di tempat letak kereta berhadapan sebuah hotel di Puchong.

"Bagaimanapun, semasa anggota kastam hendak melakukan pemeriksaan, suspek bertindak melarikan diri dengan melanggar kenderaan dinaiki anggota terbabit dan memecut.

"Namun setibanya di Jalan Bandar 1, Puchong, kedua-dua suspek bertindak keluar daripada kereta sebelum melarikan diri.

"Kami berjaya menahan salah seorang suspek lelaki warganegara Indonesia berusia 31 tahun yang bersembunyi di sebuah kedai sekitar pusat Bandar Puchong, namun seorang lagi suspek berjaya melarikan diri," katanya ketika sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di sini pada Khamis.

Katanya, hasil pemeriksaan di but kereta menemui dua beg galas yang di dalamnya berisi bungkusan teh berwarna hijau.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan teh itu mengandungi ketulan mampat bahan kristal jernih yang disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 28 kilogram dianggar bernilai RM1 juta.

"Kereta yang digunakan ini juga disyaki dicuri hasil daripada semakan dengan pihak polis manakala sindiket ini menggunakan modus operandi dengan menyembunyikan dadah di dalam beg dan di dalam but kenderaan.

"Selain itu, mereka menggunakan kenderaan curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu malah sentiasa menukar kenderaan lain untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan dadah ini dikumpul dan akan dihantar ke Indonesia melalui jalan laut dan bukannya untuk pasaran negara.

"Rentetan daripada kes ini, pada Isnin lepas kami berjaya menahan empat lagi suspek di dua lokasi berasingan iaitu rakyat tempatan yang disyaki terlibat dan salah seorang merupakan suspek yang melarikan diri semasa serbuan pertama.

"Ujian saringan air kencing ke atas semua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Jelasnya, suspek pertama lelaki warga Indonesia telah ditahan reman selama 14 hari bermula 14 hingga 27 September depan manakala empat lagi suspek yang ditahan telah dipohon reman untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Abdul Latif berkata, sejak Januari lalu hingga Khamis, Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah merampas dadah jenis amphetamine seberat 16,000 kilogram bernilai RM5.2 bilion, methamphetamine 623.862 kilogram (RM22.5 juta), ketamin 2.589 kilogram (RM124,160) dan heroin 3.846 kilogram (RM337,569).

"Bagi rekod penahanan pula, seramai 14 suspek telah ditahan dan tujuh daripadanya telah didakwa di mahkamah.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!