X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

Kit ujian antibodi untuk pasaran swasta belum diluluskan

Khairy Jamaluddin
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum memberi sebarang kelulusan kepada mana-mana ujian atau kit ujian pengesanan antibodi pasca vaksinasi Covid-19 bagi pasaran swasta di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagaimanapun berkata, kajian keberkesanan ujian daya tahan antibodi daripada beberapa makmal KKM telah dan masih dijalankan.

"Sehingga kini, masih belum ada mana-mana ujian atau kit ujian pengesanan antibodi pasca vaksinasi yang telah diluluskan oleh kementerian bagi pasaran swasta.

"Walau bagaimanapun, kajian keberkesanan ujian daya tahan antibodi dari beberapa makmal KKM telah dan masih dijalankan.

"Kajian ini akan berjalan selama dua tahun dan merupakan hasil kolaborasi di antara Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) dan Institut Penyelidikan (IMR)," katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurutnya, fasa pertama melibatkan ujian keberkesanan daya tahan antibodi di mana ujian dijalankan ke atas peneutralan antibodi dan method ujian yang digunakan adalah immunoassay daripada syarikat Siemens.

"Ujian tersebut dikenali sebagai ADVIA Centaur SARS-CoV-2 IgG (sCOVG), digunakan untuk menjalankan diagnostik in vitro dalam pengesanan kualitatif dan kuantitatif antibodi IgG terhadap spike protein dan Receptor Binding Domain (RBD) termasuk antibodi peneutralan kepada SARS-CoV-2 (Covid-19) dalam serum dan plasma manusia.

"Kajian menyeluruh telah dilakukan untuk menunjukkan korelasi yang baik dengan ujian peneutralan virus," katanya.

Justeru katanya, oleh kerana plasma manusia diperlukan bagi ujian tersebut, fasa seterusnya melibatkan pengujian menggunakan kit tersebut ke atas sampel plasma darah yang diambil secara berperingkat yang diperolehi daripada petugas kesihatan secara sukarela terlibat dalam kajian tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!