Penggulungan Kementerian Kesihatan dijangka tumpuan sidang dewan

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggulungan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi pihak Kementerian Kesihatan dijangka menjadi tumpuan sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Kementerian yang memainkan peranan penting dalam menangani wabak Covid-19 di negara ini, disenarai sebagai kementerian pertama yang akan menggulung perbahasan pada hari kedua penggulungan oleh kementerian-kementerian.

Sejumlah 11 kementerian dijadual menggulung perbahasan membabitkan isu-isu yang dibangkitkan sepanjang empat hari perbahasan titah diraja oleh 91 wakil rakyat pembangkang dan penyokong kerajaan.

Semalam, sejumlah 16 kementerian terlibat dalam hari pertama sesi penggulungan.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat selain Kementerian Kesihatan, antara kementerian lain terlibat ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Luar Negeri; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; dan Kementerian Belia dan Sukan.

Persidangan dimulakan dengan Waktu Pertanyaan menteri diikuti sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan antara perkara yang akan dibangkitkan adalah isu capaian internet di kawasan luar bandar, pembelajaran secara maya bagi pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan pengutamaan golongan B40 memasuki asrama.

Soalan berkaitan capaian internet diajukan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan langkah yang akan diambil untuk memastikan capaian internet kelajuan tinggi di Sabah khususnya di kawasan luar bandar.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) pula mengajukan soalan kepada Menteri Pengajian Tinggi, mengenai langkah menambah baik kaedah pembelajaran secara maya bagi pelajar institusi pengajian tinggi untuk mengurangkan tekanan ekoran bebanan tugasan.

Artikel Berkaitan:

Persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung selama 17 hari dari 13 September hingga 12 Oktober. - Bernama