X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Lelaki ditahan curi elektrik untuk aktiviti bitcoin

Tindakan licik premis berkenaan yang mencuri bekalan elektrik untuk aktiviti bitcoin akhirnya terbongkar minggu lalu.
A
A

KUALA KRAI - Kegiatan mencuri elektrik untuk mesin bitcoin di sebuah premis di Taman Lucky Garden di sini terbongkar dengan penahanan seorang lelaki berusia 54 tahun, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, aktiviti mencuri elektrik berkenaan dipercayai dilakukan di premis tersebut sejak Julai lalu mengakibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian sebanyak RM50,767 setiap bulan.

“Semasa membuat pemantauan minggu lalu, kami mendapati seorang lelaki baru saja turun dari sebuah motosikal menuju ke premis tersebut. Lelaki itu memberitahu dia mahu memeriksa bekalan elektrik mesin bitcoin di premis berkenaan.

“Dengan disaksikan suspek, pihak TNB Kuala Krai dan Polis Bantuan telah membuat pemeriksaan di luar premis berkenaan dan mendapati premis itu disyaki menjalankan aktiviti pemasangan mesin bitcoin dengan mencuri bekalan elektrik TNB secara haram,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, pihak polis telah merampas 148 unit mesin bitcoin dan pelbagai barangan komputer serta internet dalam serbuan berkenaan yang turut disertai juruteknik khas TNB Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, TNB dipercayai mengalami kerugian sebanyak RM150,000 hingga RM200,000 daripada kegiatan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!