Kelantan sedia bangunkan lebih 1,000 hektar tanah untuk tanaman padi

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan bersedia membangunkan lebih 1,000 hektar tanah untuk projek tanaman padi bagi memastikan sumber bekalan makanan di negeri tersebut sentiasa mencukupi.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, projek berkenaan adalah untuk menggantikan lot-lot tanah padi yang sebelum ini digunakan untuk pembangunan seperti lebuh raya dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Lokasi-lokasi yang dilihat sesuai untuk dimajukan sebagai kawasan baharu bagi projek tanaman padi di Kelantan sudah dikenal pasti.

"Ia adalah melibatkan jajahan seperti Pasir Puteh, Machang, Bachok dan juga Tumpat. Kerajaan negeri sentiasa mengharapkan kewujudan kawasan-kawasan baharu ini mampu mengukuhkan sumber bekalan makanan di Kelantan untuk tempoh jangka panjang," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Sementara itu, Tuan Saripudin berkata, pihaknya menjalin kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Jabatan Pertanian Kelantan untuk menambah baik kawasan tanaman padi di luar jelapang.

"Penambahbaikan ini meliputi sistem saliran yang sempurna bagi memastikan kawasan luar jelapang padi yang sebelum ini mengusahakan tanaman itu sekali setahun akan diusahakan dengan tanaman dua kali setahun. Kebanyakan kawasan ini membabitkan jajahan Machang dan Pasir Puteh,” katanya.

Artikel Berkaitan: