Individu tamat kuarantin di PKRC divaksin sebelum pulang

Dr Izani Husin
Dr Izani Husin
A
A
A

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan memaklumkan mana-mana individu yang tamat tempoh kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), namun masih belum menerima vaksin akan diberikan suntikan berkenaan sebelum dibenarkan pulang.

Exco Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, langkah tersebut dilakukan bagi memastikan semua rakyat negeri ini mendapat vaksinasi Covid-19 sebaik mungkin.

“Kes di Kelantan agak tinggi dan masih ada rakyat yang masih belum vaksin walaupun positif wabak itu. Maka ini salah satu inisiatif Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) untuk memastikan kita semua mendapat perlindungan sewajarnya.

“Untuk mereka yang kuarantin di rumah melalui perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) pula, kita akan berikan suntikan semasa mereka datang potong gelang merah jambu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya pada Rabu.

Menurutnya, sehingga Rabu, lebih 951,000 rakyat negeri ini yang berusia 18 tahun ke atas menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan daripada jumlah berkenaan, ia menunjukkan 77 peratus rakyat Kelantan menerima vaksinasi penuh mereka dalam tempoh dua minggu lagi.

Beliau berkata, JKNK juga masih giat melakukan vaksinasi sehingga ke kawasan kampung melalui pelbagai pendekatan yang dijalankan untuk membantu rakyat yang mempunyai kekangan untuk keluar ke pusat pemberian vaksin (PPV).

“Insya-ALLAH dengan jumlah 950,000 lebih itu, kita boleh capai imuniti kelompok pertengahan Oktober ini. Cuma pesan saya, jadilah rakyat Kelantan yang akur pada seruan kerajaan.

“Kita semua tahu masih terdedah dengan jangkitan walaupun jangkitan tidak berat dan teruk selepas divaksin. Walaupun kita sudah dapat dua dos, tetapi jangan pula lupa yang kita boleh tularkan penyakit itu kepada orang sekeliling.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu, kita perlu patuh prosedur operasi standard (SOP), pakai pelitup muka, jaga penjarakan dan sebagainya,” katanya.