Bimbang beri kesan kepada universiti

Muka depan Sinar Harian pada Selasa.
Muka depan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bersetuju agar yuran institusi pengajian tinggi (IPT) dikurangkan, namun berharap ia tidak keterlaluan sehingga memberi kesan kepada pihak universiti.

Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, pihak universiti kini bergantung kepada yuran pelajar dan menjadi sumber pendapatan utama ketika pandemik Covid-19 bagi mengekalkan operasi.

Justeru, beliau meminta pertimbangan sewajarnya dilakukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung pengurangan yuran IPT seperti yang disarankan beberapa wakil pelajar.

“GPMS setuju dengan gesaan beberapa wakil pelajar namun berharap pengurangan tersebut tidak keterlaluan yang akan memberi kesan pada pihak universiti.

“Kita perlu faham, yuran merupakan sumber utama pihak universiti. Kita risau pengurangan yuran yang keterlaluan akan memberi kesan kepada pembayaran gaji dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, beberapa pemimpin mahasiswa memohon agar yuran IPT dikurangkan berikutan pembelajaran secara dalam talian akan dilaksanakan bagi semester baharu bermula Oktober ini.

Mengulas lanjut, Mohd Alif berpendapat, pengurangan yuran IPT boleh dilakukan dengan mengecualikan beberapa yuran yang dianggap tidak relevan ketika ini.

Justeru, beliau mengesyorkan agar satu perbincangan diadakan antara wakil mahasiswa dan pihak universiti bagi membincangkan jalan terbaik buat kedua-dua pihak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Alumni GPMS, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, beliau berharap agar kerajaan memberi suntikan dana khas kepada pihak universiti dalam usaha untuk mengurangkan yuran IPT.

Katanya, perkara tersebut bukan sahaja dapat membantu dalam mengurangkan yuran IPT pelajar, malah akan sedikit membantu kedudukan kewangan semasa universiti.

“Sebab itu saya meminta Menteri Pengajian Tinggi untuk memanjangkan perkara tersebut kepada Menteri Kewangan memandangkan kita sedang menyusun Bajet 2022.

“Melalui Bajet 2022, pihak KPT boleh memohon suntikan dana kepada IPT untuk menampung pendapatan mereka, selain dapat membantu pelajar yang terkesan akibat Covid-19,” katanya.

Presiden Alumni GPMS, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad
Presiden Alumni GPMS, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad