X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

'Mowgli Malaysia'' lega dapat suntikan vaksin Covid-19

Muhammad Syukur menerima dos pertama vaksin Covid-19 di SMK Tengku Bariah pada Selasa.
A
A

KUALA TERENGGANU - Remaja lelaki yang terkenal dengan jolokan 'Mowgli Malaysia' meluahkan rasa lega selepas suntikan pertama vaksin Covid-19 pada Selasa.

Muhammad Syukur Khamis, 16, menerima suntikan vaksin jenis Pfizer di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah, Jalan Pasir Panjang, di sini kira-kira jam 3 petang.

Muhammad Syukur juga mengakui berasa lebih selamat untuk melakukan aktiviti harian.

"Walaupun tidak dapat mengelak sepenuhnya daripada jangkitan, ia sekurang-kurangnya dapat menghindari risiko teruk sekiranya dijangkiti," katanya kepada Sinar Harian.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu berkata, pada mulanya dia ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan tetapi perasaan diketepikan selepas mendapatkan maklumat sahih mengenai vaksin Covid-19 menerusi pembacaan.

"Banyak bukti mengenai kesan positif mengenainya menyebabkan saya berani untuk mengambil suntikan," katanya yang akan mendapatkan suntikan bagi dos kedua pada 12 Oktober depan.

Dalam pada itu, Muhammad Syukur turut berkongsi pengalaman baharu itu menerusi media sosial Facebook, Syukor Khamis - Kampong Boy.

"Alhamdulillah selesai satu Dos vaksin hari ni. Bereh lagi je, jarum masuk dok (tak) rasa (berasa)," katanya.

Nama Muhammad Syukur tidak asing dalam kalangan peminat fotografi di Malaysia apabila fotonya bersama kerbau peliharaan diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic sehingga diberi jolokan Mowgli iaitu watak utama dalam dalam filem animasi The Jungle Book.

Pada Selasa, seramai 38,114 pelajar Tingkatan Empat dan Lima di Terengganu menjalani proses vaksinasi sebagai persediaan bagi sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober depan.

Proses pemberian vaksin itu dilakukan di 56 sekolah seluruh negeri yang dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) sehingga 2 Oktober 2021.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!