Penantian 10 tahun berakhir, pasangan terima rumah mesra OKU

Mohammad Fakhruddin (kanan) menyampaikan kunci kepada Mohd Azuan pada majlis terbabit
Mohammad Fakhruddin (kanan) menyampaikan kunci kepada Mohd Azuan pada majlis terbabit
A
A
A

KUANTAN – Penantian hampir sedekad sepasang suami isteri untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya berakhir apabila menerima rumah di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) Inderapura pada Selasa.

Rumah yang diterima Hanisah Abdul Kadir, 39, merupakan unit mesra Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilengkapi kemudahan laluan tanjakan bagi memudahkan pergerakan suaminya, Mohd Azuan Mohd Amin, 40, yang mengalami strok kira-kira dua tahun lalu.

Hanisah berkata, permohonan bagi mendapatkan rumah tersebut dibuat pada 2016 atas galakan seorang rakan, membabitkan permohonan awal di Kampung Tiram sebelum ditukar ke projek di Inderapura kira-kira lima tahun lalu.

Menurutnya, penerimaan rumah berkenaan memberi kelegaan besar kepada keluarganya selepas sekian lama menumpang di kediaman ibu mentua di Tanah Putih.

“Alhamdulillah, apabila dimaklumkan kami layak menerima kunci rumah PRR hari ini, saya sangat bersyukur.

“Paling penting, rumah ini milik sendiri. Jadi lebih selesa untuk saya, suami dan dua orang anak,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan kunci pada Selasa.

Majlis penyerahan kunci disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP), Datuk Ahmad Islanizam A. Halim.

Hanisah yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Indera Mahkota 14 turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Pahang dan LPHP kerana menyediakan kemudahan mesra OKU di kediaman tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Apabila rumah disediakan dengan kemudahan mesra OKU, sedikit sebanyak ia mengurangkan beban dan kebimbangan saya apabila keluar bekerja,” katanya.

200 unit rumah diserah kepada penerima layak

Sementara itu, Mohammad Fakhruddin berkata, sebanyak 200 unit rumah PR1MA di Inderapura dan Pulau Manis, Gambang telah diserahkan kepada penerima yang layak.

Menurut beliau, rumah yang mempunyai nilai pasaran hampir RM300,000 itu ditawarkan pada harga RM45,000, manakala baki RM255,000 ditanggung menerusi bantuan dan subsidi Kerajaan Negeri Pahang.

“Skim ini menyasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) dengan syarat utama pendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah.

“Ia bagi memastikan rakyat yang benar-benar memerlukan diberi keutamaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Pahang menerusi LPHP merancang menyediakan unit lot tepi dalam projek perumahan baharu untuk disewakan secara rasmi kepada pengusaha tadika swasta.

Menurutnya, langkah itu bertujuan mengelakkan penyalahgunaan rumah kediaman bagi aktiviti komersial atau disewakan semula tanpa kebenaran.

“Kita mahu memastikan rumah yang diberikan benar-benar didiami oleh mereka yang memerlukan, bukannya dijadikan homestay atau disewakan kepada pihak ketiga.

“Sebab itu kita mengenakan moratorium selama 10 tahun serta syarat perjanjian yang ketat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!