Kesedaran meningkat, warga ATM salur lebih RM601,000 kepada Zakat MAINPP pada 2025

Mohamad (dua dari kanan) menerima cek cura wakalah agihan zakat daripada Mohd Rashidi berjumlah RM75,167.
Mohamad (dua dari kanan) menerima cek cura wakalah agihan zakat daripada Mohd Rashidi berjumlah RM75,167.
A
A
A

GEORGE TOWN – Sebanyak RM601,336.75 bayaran zakat diterima Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerusi potongan gaji anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang Januari hingga Disember 2025.

Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, perkembangan itu menunjukkan hubungan antara institusi zakat dengan warga ATM perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan kefahaman mengenai kewajipan zakat berkembang seiring dengan keyakinan terhadap pengurusannya.

Menurutnya, pembayar zakat perlu mengetahui bagaimana kewajipan mereka ditunaikan manakala institusi zakat pula perlu membuktikan amanah berkenaan diterjemahkan melalui agihan yang cekap, tepat dan memberi kesan kepada kehidupan penerima.

“Pada hari ini, penyerahan wakalah agihan zakat melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM75,167 kepada 12 formasi dan pasukan ATM merangkumi Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Saya berharap peruntukan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya bagi tujuan yang diluluskan termasuk menyokong pengisian kerohanian dan pembangunan agama dalam kalangan warga pasukan.

“Kita mahu setiap usaha yang dilaksanakan dapat memperkukuh penghayatan Islam, membina sahsiah serta menyuburkan nilai amanah dan tanggungjawab dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Zakat MAINPP dan Serahan Wakalah Agihan Zakat Bersama ATM di Kem Tun Razak, di sini pada Isnin.

Mohamad berkata, pengurusan wang zakat menuntut ketelitian dengan setiap perbelanjaan perlu jelas tujuannya, teratur rekodnya dan dapat dipertanggungjawabkan.

“Saya berharap pihak penerima wakalah sentiasa berhubung dengan Zakat MAINPP bagi memastikan pelaksanaannya mematuhi ketetapan agihan yang berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral Datuk Mohd Rashidi Bujai berkata, peningkatan kesedaran dalam menunaikan zakat membolehkan lebih banyak dana dikumpulkan untuk disalurkan secara bersasar kepada golongan yang memerlukan.

“Apabila kesedaran berzakat meningkat, lebih banyak dana dapat diagihkan secara bersasar bagi membantu saudara kita yang memerlukan dan mengeluarkan saudara-saudara kita daripada kepompong kemiskinan.

“Hari ini, cabaran ekonomi menuntut kita untuk menjadi lebih proaktif. Justeru, sokongan padu daripada para pembayar zakat, terutamanya orang perseorangan dan institusi korporat amatlah ditagih demi memastikan kebajikan asnaf di Pulau Pinang sentiasa terbela,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Zakat MAINPP menyalurkan agihan berjumlah RM200.11 juta kepada 45,831 penerima terdiri daripada individu dan institusi sepanjang 2025.

Katanya, jumlah tersebut meningkat sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya sekali gus menggambarkan besarnya amanah yang perlu dilaksanakan dalam memenuhi keperluan penerima zakat di Pulau Pinang.

"Program ini turut menjadi platform Zakat MAINPP untuk meningkatkan kefahaman serta kesedaran warga ATM mengenai kewajipan menunaikan zakat.

"Selain itu, ia menggalakkan anggota ATM menyertai Skim Sakinah melalui kaedah potongan gaji secara bulanan bagi memudahkan pelaksanaan kewajipan berkenaan," ujarnya.

Program Jelajah Zakat MAINPP bersama warga ATM itu turut diadakan sebagai usaha memperkukuh hubungan antara institusi zakat dengan warga pertahanan negara selain memperluas penyampaian maklumat berkaitan kewajipan dan pengurusan zakat.

Program tersebut turut dihadiri kepimpinan dan warga ATM, KAGAT, Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia serta warga kerja Zakat MAINPP.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!