SMC cipta sejarah, tersenarai antara Hospital Khusus Terbaik Dunia 2027

SHAH ALAM – Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway buat julung kalinya tersenarai dalam senarai Hospital Khusus Terbaik Dunia 2027 yang diterbitkan Newsweek, sekali gus mengiktiraf kepakaran hospital berkenaan dalam bidang pediatrik, neurologi dan onkologi.
Dalam senarai berkenaan, SMC menduduki tempat pertama di Malaysia bagi bidang pediatrik selain mencatatkan kedudukan tertinggi negara bagi bidang onkologi.
Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Datuk Lau Beng Long berkata, pengiktirafan itu mencerminkan perkembangan kepakaran pediatrik, onkologi dan neurologi SMC di peringkat serantau.
“Pengiktirafan sulung dalam senarai Hospital Khusus Terbaik Dunia oleh Newsweek adalah satu pencapaian yang amat bermakna bagi hospital utama kami.
“Ia mencerminkan perkembangan kami dalam kepakaran pediatrik, onkologi dan neurologi di peringkat serantau,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Selaras dengan tumpuan terhadap penjagaan khusus, SMC mempunyai Pusat Kesihatan dan Perkembangan Kanak-kanak yang menyediakan pelbagai subkepakaran pediatrik bagi memenuhi keperluan rawatan kanak-kanak.
Menara F pula mempunyai kapasiti 216 katil dan menghimpunkan pelbagai perkhidmatan subkepakaran pediatrik, termasuk hematologi serta onkologi pediatrik yang disokong pasukan multidisiplin.
Hospital berkenaan merupakan hospital swasta pertama di Malaysia yang menubuhkan Pusat Kecemasan dan Walk-In Kanak-kanak yang beroperasi 24 jam, selain dilengkapi Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) dan wad pesakit dalam khusus.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC, Erica Lam berkata, pengiktirafan itu membuktikan kekuatan klinikal hospital berkenaan dalam menyediakan penjagaan berpusatkan pesakit.
“Penarafan ini mencerminkan kekuatan klinikal kepakaran khusus hospital. Dengan pembukaan Menara Khusus Kanak-kanak, pesakit kini mempunyai akses kepada penjagaan bersepadu dan penjagaan pediatrik komprehensif merangkumi konsultasi, diagnosis dan rawatan yang disokong pasukan pelbagai disiplin,” katanya.

Menurutnya, SMC akan terus memperkukuh kecemerlangan klinikal serta memperluas perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi memenuhi keperluan pesakit.
SMC turut menjadi hospital swasta pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi utama daripada Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat, Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia Antarabangsa (ACHSI) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).
Pusat perubatan berkenaan juga menduduki tempat pertama di Malaysia dalam senarai Hospital Terbaik Dunia 2025 dan 2026, selain dinobatkan sebagai hospital terbaik di negara ini dalam senarai Hospital Pintar Terbaik Dunia 2026 oleh Newsweek.
Dengan pembukaan Menara F, kapasiti katil berlesen meningkat kepada 961 katil, selain mempunyai lebih 300 perunding perubatan residen yang merangkumi 80 bidang kepakaran dan 28 Pusat Kecemerlangan.
Senarai Hospital Khusus Terbaik Dunia 2027 oleh Newsweek menilai hospital berdasarkan tiga komponen utama iaitu cadangan profesional kesihatan antarabangsa, akreditasi serta pensijilan khusus mengikut bidang kepakaran dan tinjauan Pengukuran Hasil Dilaporkan Pesakit (PROMs).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
