237,200 remaja di Perak terima vaksin bulan ini

Jackson Wao, 16, merupakan antara 1,500 pelajar sekolah yang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di PPV Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah pada Selasa.
Jackson Wao, 16, merupakan antara 1,500 pelajar sekolah yang menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di PPV Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Seramai 237,200 kanak-kanak dan remaja berusia 12 sehingga 17 tahun di negeri ini dijadualkan menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 pada bulan ini.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, jumlah itu termasuk 60,950 pelajar berusia 16 dan 17 tahun yang bakal mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka sempena pembukaan sekolah pada 3 Oktober ini.

Menurutnya, proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) itu diadakan secara berperingkat bermula pada Isnin membabitkan 41 pusat pemberian vaksin (PPV), antaranya PPV awam, sekolah dan kolej vokasional.

"Program ini menyasarkan keseluruhan 237,200 remaja berusia 12 sehingga 17 tahun. Sasaran vaksinasi bagi pelajar Tingkatan Empat dan Lima pula adalah seramai 60,950 pelajar, masing-masing untuk menerima suntikan dos pertama.

"Pemberian suntikan dos kedua akan dimulakan sekitar Oktober depan," katanya dalam kenyataan yang dikongsikan di Facebook di sini pada Selasa.

Beliau berkata, objektif bagi mencapai tahap imuniti kelompok sentiasa dititik beratkan kerajaan negeri terutama pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan bagi menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.

Dalam perkara itu, katanya, ibu bapa disaran untuk memastikan anak-anak mereka didaftarkan melalui MySejahtera dan hadir ke PPV dinyatakan bagi memenuhi janji temu pemberian vaksin.

"Berikan kerjasama baik kepada petugas barisan hadapan yang telah bertungkus lumus dalam membantu usaha kerajaan untuk melandaikan pandemik ini," katanya.

Artikel Berkaitan: