X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Jual ayam RM10 sekilogram, peniaga diberi 'surat'

KPDNHEP mengesan seramai 33 peniaga menjual ayam segar pada harga tinggi di Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu mengeluarkan 33 surat pemberitahuan ke atas 33 peniaga berhubung kenaikan harga jualan ayam segar sehingga mencecah RM10 sekilogram.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, surat pemberitahuan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 itu dikeluarkan ke atas 31 peruncit dan dua pemborong.

Menurutnya, langkah itu diambil susulan 47 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) yang diserahkan kepada peniaga ayam di seluruh negeri bermula 12 hingga 20 September lalu.

"Surat ini dikeluarkan bagi membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah selain peringatan untuk tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Pendekatan secara berhemah ini berhasil apabila peniaga berkenaan bersetuju menurunkan harga ayam standard di antara RM8.50 ke RM9.50 sekilogram," katanya menerusi satu kenyataan, pada Selasa.

Dalam pada itu, katanya, setakat ini sebanyak empat pasar raya besar, 24 pasar raya dan 18 pasar basah diperiksa di seluruh Terengganu.

Katanya, seramai 117 pegawai penguatkuasa KPDNHEP digerakkan setiap hari bagi memeriksa harga serta bekalan sumber makanan di seluruh negeri.

Dalam perkembangan berasingan, katanya, KPDNHEP Terengganu turut mengeluarkan NPMB ke atas peniaga di Pasar Payang, di sini, susulan isu kenaikan harga sayuran di pasar berkenaan.

Katanya, berdasarkan analisis harga bagi tiga jenis sayuran yang dilaporkan masih stabil kerana purata harga masih lagi berada dalam julat harga keseluruhan data harga Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP Terengganu.

"Bagi mengesahkan laporan itu, NPMB turut dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat berhubung kenaikan harga sayuran tersebut.

"Kita akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada peniaga yang cuba mengambil kesempatan dalam situasi sekarang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!