Sabah ambil inisiatif pulih industri pelancongan

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan teks ucapan dasar kepada Juhar sempena pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua persidangan DUN Sabah pada Selasa.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan teks ucapan dasar kepada Juhar sempena pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua persidangan DUN Sabah pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah telah mengambil inisiatif merangka Pelan Pemulihan Sabah sebagai panduan dan persediaan dalam usaha memulihkan industri pelancongan.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkata, sektor pelancongan merupakan antara sektor penyumbang utama kepada ekonomi Sabah yang paling terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah pada tahun 2020 hanya 977,460 orang berbanding 4.2 juta orang pada tahun 2019 iaitu melibatkan penurunan sebanyak 76.7 peratus.

"Jumlah ketibaan pelancong ke Sabah dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2021 pula telah menurun sebanyak 85.2 peratus kepada 108,862 orang berbanding 736,921 orang dalam tempoh yang sama pada tahun 2020.

"Anggaran jumlah penerimaan pelancongan di Sabah dalam enam bulan pertama tahun 2021 menyusut dengan ketara sebanyak 88 peratus iaitu bersamaan dengan RM1.28 bilion kepada RM174 juta sahaja berbanding RM1.45 bilion dalam tempoh yang sama tahun 2020," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar kerajaan sempena pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.

Sehubungan itu, Juhar berkata, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif merangka Pelan Pemulihan Sabah 'Tourism Recovery Roadmap' dalam usaha memulihkan industri pelancongan di negeri ini.

"Antara pendekatan yang diambil di bawah pelan pemulihan tersebut ialah memperhebatkan usaha untuk merangsang pembangunan sektor pelancongan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk membangunkan infrastruktur dan kemudahan asas pelancongan terutama di kawasan luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Di samping itu, pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah budaya dan khazanah alam di negeri ini akan terus diberikan tumpuan dalam usaha untuk membangunkan kembali industri pelancongan.

"Ia sekali gus memberi kesedaran kepada orang awam tentang mustahaknya pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah budaya dan khazanah alam agar dapat dinikmati oleh setiap golongan masyarakat," katanya.