X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Sebar berita palsu berkaitan Covid-19, 307 kertas siasatan dibuka

Tan Sri Annuar Musa
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka sebanyak 307 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu hingga bulan ini.

Siasatan berkenaan turut membabitkan pengamal perubatan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 163 kes selesai, 37 dituduh di mahkamah sementara 114 lagi dalam siasatan.

"Daripada jumlah (keseluruhan kes) tersebut kebanyakannya disiasat di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

"Kes telah banyak diselesaikan namun masih ada tetapi keseluruhannya penularan berita negatif mengenai vaksin dan vaksinasi telah banyak berkurangan," katanya semasa sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri bagi jawab lisan pada sidang Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai bilangan kes membabitkan pengamal perubatan yang menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial seperti WhatApp, Facebook dan Telegram berkaitan vaksin sehingga mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, secara umumnya penyebaran berita palsu berkaitan vaksin Covid-19 berkurangan berbanding di peringkat awal Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diperkenalkan.

"Kita ucapkan terima kasih kepada masyarakat kerana tahap kesedaran dan penerimaan PICK telah menjadi bukti bahawa penularan berita-berita sedemikian tidak lagi begitu berkesan," katanya.

Menurutnya, perubahan itu berlaku ekoran program pendidikan dan kesedaran berterusan untuk mencegah penularan berita palsu berkenaan.

Tambah beliau, antara program yang dilaksanakan kementerian itu melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ialah kempen 'Tidak Pasti Jangan Kongsi' dan 'Klik Dengan Bijak'.

"Kerajaan juga menubuhkan Pasukan Respons Pantas untuk menafikan berita palsu dengan segera," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!