Shaharom Nizam dilantik Pengarah SPRM Kedah

Mohd Fauzi (dua, kiri) membuat penyerahan tugas kepada Shaharom Nizam (tiga, kanan).
Mohd Fauzi (dua, kiri) membuat penyerahan tugas kepada Shaharom Nizam (tiga, kanan).
A
A
A

ALOR SETAR -Ketua Pegawai Integriti Prasarana Malaysia Bhd, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap dilantik sebagai Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah berkuatkuasa 1 Mac lepas.

Beliau yang bertugas di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula Februari 2017 hingga Januari lepas menggantikan Datuk Mohd Fauzi Mohamad,56,yang bertukar ke SPRM Perak.

Shaharom Nizam, 56, ditempatkan di pejabat Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM selama sebulan sebelum dilantik ke jawatan Pengarah SPRM Kedah yang baharu pada Jumaat lepas.

Shaharom Nizam
Shaharom Nizam

Katanya, beliau berikrar akan meneruskan usaha-usaha dilaksanakan Mohd Fauzi selama ini dalam membanteras gejala rasuah di setiap lapisan masyarakat di Kedah.

"Antara perancangan, saya berhasrat menemui Menteri Besar Kedah dan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Kedah bagi membincangkan usaha-usaha menangani rasuah di peringkat kakitangan awam.

"Malah, saya merancang untuk meneruskan tindakan yang boleh memberi impak kepada masyarakat sebagai pengajaran dengan kerjasama semua pihak termasuklah media," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Kedah di Pejabat SPRM Kedah.

Terdahulu, majlis berkenaan disaksikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Profesionalisme SPRM, Datuk Ja’afar Mahad.

Artikel Berkaitan:

Shaharom Nizam berkata, beliau mengharapkan kerjasama erat dengan media dalam usaha meningkatkan kempen pencegahan rasuah dalam pelbagai peringkat.

Katanya, beliau turut bercadang untuk mewujudkan pasukan khas bagi melihat kes salah laku berkaitan rasuah melibatkan penjawat awam di Kedah secara lebih mendalam dalam usaha mengurangkan kes membabitkan golongan itu.

"Buat masa ini, perancangan ini merupakan antara pendekatan baharu telah dibincangkan dalam mesyuarat kami dalam usaha mengurangkan kes rasuah dan diharapkan dapat dicadangkan kepada menteri besar dan jabatan itu," katanya.

Shaharom Nizam (tujuh, kiri) dan Mohd Fauzi (enam, kanan) bergambar kenangan bersama anggota SPRM Kedah.
Shaharom Nizam (tujuh, kiri) dan Mohd Fauzi (enam, kanan) bergambar kenangan bersama anggota SPRM Kedah.

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata, beliau bersyukur berpeluang mengetuai beberapa operasi sepanjang menjalankan tugas sejak 2014 hingga 2018 di Kedah.

"Antaranya, kes unik membabitkan rasuah seks seorang pegawai kanan kerajaan dalam Op Janda pada 2014, penyitaan 33 kenderaan dan lucut hak 15 daripada melalui Ops Piang pada 2016," katanya ketika berucap dalam majlis.

Katanya, SPRM Kedah turut berjaya melaksanakan Ops Blok melibatkan seorang jurutera kanan agensi kerajaan yang dilucut hak wang tunainya sebanyak RM1.1 juta pada 2017 dan Ops H20 membabitkan penyitaan harta RM1.6 juta.

"Pada 2018, kita juga berjaya melaksanakan Ops Lavish melibatkan pegawai kanan sebuah agensi penguatkuasaan dengan melakukan lucut hak RM7.9 juta meliputi akaun bank, barang berharga dan saham.

"Dalam tempoh berkenaan, SPRM Kedah telah membuat penyitaan dan pembekuan harta sebanyak RM20 juta, manakala lucut hak wang tunai dan harta sebanyak RM7.9 juta," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 137 maklumat diterima berkaitan pelbagai kes rasuah dan salah guna kuasa serta penggubahan wang haram dalam tempoh suku pertama 2019.

Mohd Fauzi berkata, SPRM Kedah telah berjaya membuat 36 tangkapan merangkumi orang awam (21), penjawat awam bertaraf profesional dan pengurusan (8) dan swasta (7).