Bencana demi bencana, tanda alam mula ‘bersuara’

Keadaan lokasi sekitar kejadian tanah runtuh di bahagian belakang sebuah kediaman di Jalan Kemensah Height. - Foto Bernama
Keadaan lokasi sekitar kejadian tanah runtuh di bahagian belakang sebuah kediaman di Jalan Kemensah Height. - Foto Bernama
A
A
A

MINGGU lalu negara dikejutkan dengan beberapa siri kejadian tanah runtuh yang turut mengakibatkan kehilangan nyawa. Kejadian pertama berlaku di Penampang, Sabah yang mengorbankan seorang ibu hamil bersama bayinya yang berusia lapan bulan dan seorang kanak-kanak berumur lima tahun.

Mangsa dikenali sebagai Salmah Hamid, 25, anaknya, Dayana Zulazmil dan seorang kanak-kanak perempuan, Rosatima Asbirin ditemui meninggal dunia selepas tanah runtuh meranapkan kediaman mereka.

Sehari selepas itu, seorang wanita maut manakala anak perempuannya yang berusia 29 tahun cedera dalam insiden tanah runtuh di Sungai Palas, Cameron Highlands susulan hujan lebat berterusan hampir dua jam.

Mangsa, K Vijaya, 59, maut tertimbus dalam runtuhan tanah yang melanda rumahnya manakala suami dan seorang lagi anak perempuannya terselamat dalam kejadian tersebut. Tidak habis di situ, satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku di Jalan Kemensah Heights, Ampang, Selangor yang menjejaskan 19 rumah teres dua tingkat didiami 28 keluarga hingga memaksa kesemua penghuninya berpindah.

Kejadian tanah runtuh itu dipercayai berlaku akibat pergerakan aliran air bawah tanah selepas hujan lebat di kawasan terbabit.

Susulan insiden itu juga, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengisytiharkan lokasi kejadian sebagai kawasan bencana berikutan kesemua rumah yang terlibat tidak selamat diduduki buat masa ini.

Kejadian tanah runtuh bukanlah asing di negara kita kerana ia sering berlaku memandangkan Malaysia menerima taburan hujan yang tinggi. Menurut pensyarah kanan Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan, Dr Noorzamzarina Sulaiman, tanah runtuh boleh berlaku akibat daripada beberapa faktor antaranya faktor semula jadi, faktor aktiviti manusia dan faktor masa.

Antara faktor semula jadi termasuklah faktor graviti, luluhawa dan hakisan serta jumlah hujan yang berterusan pada setiap tahun. Namun, ia bergantung kepada masa bagi membolehkan kegagalan cerun terjadi seterusnya menyebabkan berlakunya tanah runtuh.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun kini aktiviti manusia dikatakan faktor utama penyebab berlakunya bencana alam itu. Pembangunan infrastruktur seperti lebuh raya dan kawasan penempatan baharu yang semakin pesat, selain pencerobohan tanah bagi kegunaan pertanian di atas cerun menyebabkan kestabilan cerun semakin rendah.

Aktiviti menebang pokok termasuk pembalakan telah merubah ekosistem yang sepatutnya berperanan sebagai perlindungan sumber air, mengurangkan hakisan tanah dan mengawal banjir. Cuaca yang tidak menentu termasuk hujan lebat berpanjangan memburukkan lagi keadaan. Daripada fenomena semula jadi akhirnya tercetus bencana alam seperti banjir lumpur dan tanah runtuh.

Natijahnya, kesan daripada bencana alam ini bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa, malah kerugian harta benda yang bukan sedikit nilainya. Berdasarkan inventori daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), jumlah kerugian ekonomi bagi kes-kes tanah runtuh yang dilaporkan dari 1973 hingga 2007 dianggarkan kira-kira RM3 bilion. Kerajaan pula terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk membaik pulih kawasan bencana.

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali pada Sabtu meminta peruntukan daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM1 juta untuk tujuan pembinaan cerucuk besi bagi menahan sebarang pergerakan tanah di kawasan cerun runtuhan di Jalan Kemensah Height. Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM60 juta bagi membaiki cerun yang runtuh di Kampung Celagi, Pasir Mas, Kelantan.

Walaupun banyak usaha dilakukan untuk mencegah dan mengurangkan risiko bencana oleh pelbagai agensi kerajaan, ia masih tidak berkurangan. Malah JKR menjangkakan kejadian tanah runtuh akan bertambah disebabkan semakin banyak pembangunan dan infrastruktur dibina di kawasan berbukit.

Kejadian demi kejadian yang berlaku seharusnya menjadi isyarat jelas kepada semua pihak supaya tidak rakus menggunakan sumber alam agar krisis bencana alam yang berlaku sebelum ini tidak lagi berulang.

* Siti Hazira Hamdan ialah Web Editor Sinar Online