Belanjawan lebih besar untuk pendidikan

NUTP memberi lima cadangan kepada kerajaan untuk Bajet 2022.
NUTP memberi lima cadangan kepada kerajaan untuk Bajet 2022.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pihak mahu kerajaan memberikan peruntukan lebih besar kepada pendidikan negara dalam Belanjawan 2022 bertujuan mengukuhkan kembali sektor tersebut yang mengalami banyak cabaran ekoran pandemik Covid-19.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, terdapat lima cadangan utama yang dikemukakan kepada kerajaan untuk dipertimbang bagi melonjakkan lagi sektor tersebut.

“NUTP mencadangkan agar kerajaan memberi rebat sebanyak RM1,000 kepada guru sekolah untuk setiap pembelian peranti bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Ini penting kerana Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika ini sudah menjadi rukun baharu dalam pendidikan masa kini.

“Selain itu, kerajaan juga mesti meningkatkan infrastruktur khususnya keperluan internet bagi setiap sekolah.

“Pelaksanaan itu perlu bagi mengecilkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas mengenai perkara yang perlu diberi tumpuan dalam Belanjawan 2022 yang dijangka dibentangkan bulan depan.

Aminuddin berkata, kerajaan juga wajar meningkatkan usaha dari segi pemilikan peranti kepada pelajar khususnya golongan kurang berkemampuan bagi tujuan PdPR.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai pihak berharap kerajaan dapat membantu meringankan bebanan kelompok pendidik dalam Bajet 2022 bulan depan.
Pelbagai pihak berharap kerajaan dapat membantu meringankan bebanan kelompok pendidik dalam Bajet 2022 bulan depan.

“Kerajaan pernah mengumumkan cadangan untuk memberikan gred DG56 kepada guru tetapi tidak dilaksanakan.

“Bagi kami, setiap hebahan oleh pentadbiran adalah satu pengumuman. Kita tidak kisah apa parti politik yang memerintah tetapi mengharapkan mereka dapat beri perhatian semula kepada guru yang tamat gred DG54,” ujarnya.

Kata Aminuddin, pengiktirafan dan hadiah perlu diberi perhatian semula oleh kerajaan terhadap guru yang mempunyai ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bentuk kenaikan gaji.

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan Kementerian Pendidikan terus menerima peruntukan terbesar membabitkan RM50.4 bilion daripada keseluruhan RM322.5 bilion Belanjawan 2021.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia daripada Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri menyarankan kerajaan memberi pengecualian atau pelepasan cukai pendapatan yang lebih banyak bagi pembelian gajet PdPR.

“Sebagai contoh, sekarang banyak aktiviti PdPR sekali gus banyak perbelanjaan digunakan untuk membeli gajet.

“Saya rasa pengecualian atau pelepasan cukai untuk perbelanjaan gajet perlu diberi perhatian. Berapa peratus, terpulang kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Mohamad Fazli
Mohamad Fazli

Mohamad Fazli turut berpandangan Belanjawan 2022 wajar memberi fokus kepada survival rakyat dalam mendepani endemik Covid-19.

Tegasnya, belanjawan tersebut mestilah bersifat mesra dan menjaga kepentingan rakyat secara inklusif.

“Antara perkara utama yang perlu ada dalam belanjawan itu nanti adalah memberi bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar berupaya meningkatkan peluang pekerjaan.

“Bantuan berterusan secara tidak langsung akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” ujar beliau.

Beliau berkata, sokongan terhadap ekonomi digital juga antara perkara yang perlu diberikan perhatian.

“Ekonomi digital atau gig ini harus mendapat sokongan secara berterusan. Dalam masa sama mempelbagaikan lagi program,” katanya.

Beliau berkata, dalam situasi rakyat terhimpit isu Covid-19 dan masalah ekonomi, belanjawan yang memberi fokus kepada mereka pastinya menjadi sinar yang diharapkan.

“Paling penting adalah tiada siapa yang tertinggal dalam belanjawan kali ini,” kata Mohamad Fazli.