Melaka sedia aktifkan semula operasi penerbangan di LTAM

Roslan (dua dari kiri) menyampaikan replika kunci kepada penerima Latis Lamat, 83, pada Majlis Kesyukuran Penyerahan Rumah Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Permatang Serai Merlimau pada Jumaat. - Foto Bernama
Roslan (dua dari kiri) menyampaikan replika kunci kepada penerima Latis Lamat, 83, pada Majlis Kesyukuran Penyerahan Rumah Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Permatang Serai Merlimau pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

JASIN - Melaka bersedia mengaktifkan semula operasi laluan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam selepas negeri ini beralih kepada Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), pada bila-bila masa.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad berkata, ia termasuk menerima tawaran daripada sebuah syarikat perkhidmatan ambulans udara tempatan, yang berhasrat menjadikan negeri ini sebagai hab.

“Syarikat tersebut yang berpangkalan di Subang, Selangor menawarkan operasi penerbangan membawa pesakit dari sekitar negara rantau Asia Pasifik.

“Mereka berminat untuk memindahkan operasinya di LTAM, iaitu dengan menempatkan pesawat ringan yang telah diubah suai dengan kelengkapan dan kemudahan perubatan untuk menerbangkan pesakit,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau sebelum itu menyempurnakan penyerahan rumah Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada penerima, Latis Lamat, 83, di Permatang Serai, Merlimau di sini.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, pihaknya juga mendapat permintaan daripada syarikat penerbangan komersial untuk memulakan semula operasi laluan udara sedia ada namun negeri ini masih lagi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Fasa Kedua PPN.

“Laluan sedia ada juga dikekalkan tetapi kita juga bercadang untuk membuka beberapa laluan baharu antarabangsa dan meluaskan rangkaian penerbangan Melaka ke luar seperti ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Ada juga syarikat penerbangan dari Indonesia turut berminat beroperasi di LTAM bagi laluan dari Pekan Baru, Surabaya dan Bandung, tetapi kita akan meneliti perkara ini untuk direalisasikan selepas peralihan fasa PPN di Melaka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: