X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Polis tahan 3 lelaki, rampas 654 bungkus air ketum

Polis merampas 654 bungkusan air ketum dalam serbuan di kawasan Kampung Manggis, Jalan Bagan Lalang pada Khamis.
A
A

BUTTERWORTH - Kegiatan tiga lelaki menjual air ketum membawa padah apabila mereka ditahan polis bersama 654 bungkusan air ketum dalam serbuan di kawasan Kampung Manggis, Jalan Bagan Lalang di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dibuat sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Dua selepas mendapat maklumat mengenai aktiviti penjualan air ketum yang dilakukan tiga lelaki berkenaan.

Menurutnya, ketika serbuan dibuat, polis menemui enam tong ais mengandungi air ketum yang telah siap dibungkus dan tiga plastik hitam yang mengandungi daun ketum seberat 15 kilogram.

"Turut ditemui di lokasi serbuan pelbagai peralatan untuk memasak daun ketum seperti tong gas, dapur dan periuk.

"Siasatan mendapati, mereka menjual air ketum ini untuk dipasarkan di sekitar kawasan daerah Seberang Perai Utara," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati kesemuanya positif dadah selain mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau.

Katanya, kesemua air ketum yang dirampas boleh digunakan oleh 600 hingga 1,000 penagih air ketum dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,785.

"Kesemua yang ditahan kini direman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!