Sebarang aktiviti di hutan simpan kekal di Selangor tidak dibenarkan

Sejak seminggu lalu tular video dipercayai di kawasan Air Terjun Sungai Pisang di Ulu Gombak sesak dengan kehadiran orang ramai. (Gambar kecil: Hee Loy Sian)
Sejak seminggu lalu tular video dipercayai di kawasan Air Terjun Sungai Pisang di Ulu Gombak sesak dengan kehadiran orang ramai. (Gambar kecil: Hee Loy Sian)
A
A
A

SHAH ALAM - Kawasan perkelahan dalam hutan simpanan kekal (HSK) di Selangor masih ditutup kepada pengunjung dalam tempoh peralihan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, sebarang aktiviti di kawasan terbabit masih tidak dibenarkan buat masa ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan secara bersepadu bersama polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Tindakan mengusir mereka akan dilakukan dan jika masih berdegil serta datang semula kita terpaksa mengeluarkan kompaun terhadap mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu, Loy Sian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang berkata, kebenaran merentas daerah untuk melancong di negeri itu perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Menurutnya, pematuhan terhadap SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara perlu diutamakan ketika berada di kawasan rekreasi yang dibenarkan dalam tempoh Fasa Dua PPN di negeri berkenaan.

"Sekarang ini orang ghairah hendak melancong kerana sudah lama terkurung di rumah, jadi kalau ada peluang mereka akan keluar namun perlu mematuhi SOP ditetapkan.

"Setakat ini yang ada masalah ialah di kawasan HSK, kalau di pusat rekreasi terbuka seperti di pantai, kita nampak dan boleh melaksanakan penguatkuasaan jika ada yang melanggar SOP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sejak seminggu lalu, tular video dipercayai di kawasan Air Terjun Sungai Pisang di Ulu Gombak sesak dengan kehadiran orang ramai yang didakwa tidak mendapatkan kebenaran pihak berkuasa.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih kepada Fasa Dua PPN berkuat kuasa pada 10 September lalu yang memberi kelonggaran kepada penduduk yang lengkap vaksin untuk merentas daerah.

Dalam pada itu, Loy Sian turut mengingatkan penggiat industri pelancongan dan peniaga di kawasan tumpuan di negeri itu agar sentiasa menitikberatkan soal pematuhan SOP pelanggan.

"Mereka perlu memastikan setiap pelanggan mematuhi SOP sebelum dibenarkan memasuki premis termasuk jumlah pelanggan di restoran mengikut had yang dibenarkan," katanya.

Tambahnya, bagi yang masih belum melengkapi dua dos vaksinasi pula mereka diingatkan agar tidak merentas daerah atau melakukan sebarang aktiviti riadah di luar demi keselamatan bersama.