X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Pendekatan 'Keluarga Malaysia' dalam rundingan hak Sarawak

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (tengah) bersama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kiri) pada sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 
di Dewan Undangan Negeri Sarawak di Petra Jaya malam ini. - Foto Bernama
A
A

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak akan mengambil pendekatan semangat 'Keluarga Malaysia' dalam rundingan berkaitan hak-hak negeri dengan kerajaan Persekutuan, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri daripada tiga wilayah harus mengutamakan semangat hormat-menghormati sambil mengiktiraf hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, dalam perjalanan selama 58 tahun penubuhan Malaysia terdapat perkara-perkara yang belum dilaksanakan mengikut Perlembagaan dan MA63 yang harus dibawa ke meja rundingan.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sudah mengadakan rundingan sejak 2015 lagi dan rundingan akan terus diadakan.

"Saya berharap inisiatif untuk terus berunding mengenai MA63 seperti terkandung dalam Memorandum Persefahaman Transformasi Kestabilan Politik (MOU) antara kerajaan Persekutuan dan pembangkang (Pakatan Harapan) pada 13 September lalu akan membawa kepada hasil menang-menang kepada negeri dan Persekutuan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2021 peringkat negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Khamis malam.

Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sarawak pada tahun ini diadakan dalam normal baharu dan disiarkan secara langsung.

Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, menjadi tetamu kehormat pada majlis itu yang turut dihadiri menteri-menteri negeri.

Sementara itu, Abang Johari berkata, sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, beliau berharap agar 'Keluarga Malaysia' yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah akan terus diperkukuhkan bagi mencapai kestabilan dan kemajuan.

“Sebagai Ketua kerajaan Sarawak, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus berusaha mengembalikan mana-mana hak Sarawak yang terhakis melalui rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terus menunjukkan keprihatinan terhadap aspirasi rakyat di Sarawak,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!