Perlis galak orang ramai jayakan program penghijauan negeri

Kerajaan Perlis dan Jabatan Perhutanan negeri itu mengajak orang ramai untuk terlibat menjayakan Program Penghijauan Negeri Perlis bersempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. - Foto Bernama
Kerajaan Perlis dan Jabatan Perhutanan negeri itu mengajak orang ramai untuk terlibat menjayakan Program Penghijauan Negeri Perlis bersempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok. - Foto Bernama
A
A
A

PADANG BESAR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perlis dan Jabatan Perhutanan negeri itu mengajak orang ramai untuk terlibat menjayakan Program Penghijauan Negeri Perlis bersempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok.

Exco Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Hijau dan Kesihatan, Teh Chai Aan berkata, program tersebut memerlukan kerjasama semua pihak kerana hutan yang subur menghijau menjadi tempat perlindungan kepada hidupan liar selain pelbagai jenis tumbuhan.

“Memelihara dan menjaga hutan serta alam sekitar bukan tugas kerajaan semata-mata sebaliknya tugas semua pihak termasuk swasta, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti kampung dan orang perseorangan.

“Justeru, individu yang berminat untuk turut sama menjayakan program ini boleh mendapatkan anak pokok dari Jabatan Perhutanan Negeri Perlis,” katanya kepada Bernama selepas menanam 20 anak pokok bersama ketua jabatan dan agensi kerajaan Perlis di Empangan Timah Tasoh, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadhi berkata, hingga kini sebanyak 144,824 pokok telah berjaya ditanam di seluruh Perlis.

“Setakat ini kita berjaya mencapai 72.4 peratus bagi mencapai sasaran penanaman sebanyak 200,000 pokok setahun dan usaha penanaman pokok akan diperhebat dengan kerjasama semua pihak,” katanya.

Awang Shaffie berkata, usaha itu dilakukan menerusi kempen kesedaran seperti Program Penghijauan Bumi Perlis, Kempen Penanaman Pokok Bakau, Green School Programme, Tree Community dan lain-lain.

Beliau berkata, penanaman pokok turut dilakukan menerusi program sedia ada di bawah jabatan dan agensi kerajaan yang membabitkan program tanaman semula getah dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga menggalakkan orang ramai terlibat sama dalam penanaman pokok menerusi tanaman di dusun, sekitar rumah dan lain-lain,” katanya. - Bernama