Teman berhibur, GRO Thai dapat tip RM400

Antara wanita warga Thailand yang ditahan.
Antara wanita warga Thailand yang ditahan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Berpenampilan menggiurkan untuk menemani pelanggan minum dan berhibur, gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand mengaut untung dengan peroleh tip sehingga mencecah RM400 sehari.

Lagak GRO yang menggodakan dan mampu 'mencairkan' lelaki berhidung belang semestinya menjadi tumpuan pelanggan untuk berkunjung ke pusat hiburan terbabit di Solaris Mont Kiara, di sini.

Namun, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menerusi Ops Noda, menggempur premis terbabit kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Rohazah Alwi berkata, serbuan kira-kira jam 12.45 tengah malam itu dibantu pegawainya Asisten Superintendan Ridhuan Abdul Razak dan Asisten Superintendan Sekaran bersama 25 anggota.

Menurutnya, operasi yang turut dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur ini berjaya menahan 15 wanita warga Thailand disyaki GRO berusia lingkungan 22 hingga 30 tahun.

"Siasatan awal mendapati pusat hiburan ini beroperasi dengan menggaji wanita terbabit sebagai GRO.

"Kita kemudian turut menahan seorang lelaki tempatan merupakan penjaga premis terbabit selain rampasan resit bayaran serta wang tunai," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, serbuan mendapati pusat hiburan yang berkonsepkan 'open bar' ini telah beroperasi sejak dua tahun lalu. Premis yang mempunyai laluan rahsia ini memulakan operasi seawal jam 4 petang sehingga jam 2 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Ketika serbuan, GRO ini cuba meloloskan dan menyembunyikan diri melalui laluan rahsia. Namun tindakan itu gagal dan berjaya dikesan," katanya.

Tambahnya, polis percaya GRO ini mampu mengaut tip berjumlah RM200 sehingga RM400 dalam sehari.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959," katanya.