MoU kerajaan-PH hentikan politiking demi negara, rakyat: GRS

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - Pemimpin parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Selasa menyifatkan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dimeterai kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin mampu menghentikan politiking demi kesejahteraan negara serta rakyat.

Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, MoU tersebut akan menjadi panduan untuk bersama-sama mencari jalan menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan yang dihadapi sekarang akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah itu berkata, MoU itu adalah yang terbaik dan berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, menghentikan terlalu banyak berpolitik sekali gus dapat memastikan pemulihan negara khususnya aktiviti ekonomi berjalan dengan lebih lancar dan holistik.

“Terutama ketika ini, pada saat ramai rakyat kita yang terjejas sumber pendapatan termasuk perniagaan mereka, justeru jalan penyelesaian seperti ini (kerjasama) adalah tindakan terbaik diambil,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, kerajaan dan PH melakar sejarah negara apabila buat pertama kali menandatangani MoU berkenaan yang membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia.

Memorandum persefahaman itu mengandungi enam agenda iaitu pemerkasaan pelan Covid-19, transformasi pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Timbalan Pengerusi I GRS yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerjasama antara kerajaan dengan blok pembangkang ketika negara berhadapan dengan masalah kesihatan dan ekonomi adalah sesuatu yang positif.

“Perundingan ini (MoU) dibuat atas kepentingan negara dan rakyat, selepas keseluruhan rakyat menerima vaksinasi Covid-19 pilihan raya umum boleh diadakan... kerjasama ini membawa keamanan dalam negara, menjernihkan seketika konflik politik dan sekali gus memberikan kerajaan ruang untuk fokus sepenuhnya terhadap memberi khidmat kepada rakyat,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pengerusi GRS II yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, kerjasama bipartisan yang mula ditawarkan oleh bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah lewat tiga minggu tetapi menyifatkan ia lebih baik lewat daripada tidak pernah sebelum ini.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, parti itu mengalu-alukan keputusan parti pembangkang dalam PH untuk akhirnya bersetuju dan menyokong cadangan bagi mencapai kestabilan politik dan transformasi di negara ini.

“Sebagai Presiden PBS, saya mengalu-alukan kesediaan parti-parti PH untuk menerima prinsip yang dipersetujui dalam MoU ini terutama perkara MA63, undang-undang anti lompat parti, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksima 10 tahun dan menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

“Walaupun, dalam hal ini, kami tidak bersetuju dengan pendaftaran pengundi automatik sehingga daftar pemilih Sabah dibersihkan daripada pendatang asing tanpa izin. Kami berharap dapat bekerjasama dengan parti-parti PH terutama rundingan berhubung MA63 yang sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan.

Timbalan Pengerusi III GRS yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, MoU itu tepat pada masanya dan merupakan langkah terbaik bagi memastikan kestabilan negara yang kini dilanda Covid-19.

"Apa yang telah dilakukan (MoU) adalah seperti yang dimahukan oleh Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)," kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu.

Ketua Pemuda Parti Progresif Sabah (SAPP) Jamain Sarudin berkata, apabila pelaksanaan MoU itu berjalan lancar, pembangkang dapat bersama-sama dalam rangka kerja Keluarga Malaysia dan ia sudah pasti memberi kelegaan kepada rakyat yang berdepan situasi politiking sebelum ini. - Bernama