Patuhi SOP Covid-19 bagi kelangsungan perniagaan

Pengguna dan komuniti perniagaan diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya SOP Covid-19 walaupun beberapa kelonggaran telah diberikan.
Pengguna dan komuniti perniagaan diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya SOP Covid-19 walaupun beberapa kelonggaran telah diberikan.
A
A
A

LABUAN - Pengguna dan komuniti perniagaan diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 walaupun beberapa kelonggaran telah diberikan bagi memastikan kesinambungan sektor kesihatan awam, kesejahteraan dan perniagaan, kata Senator Datuk Bashir Alias.

Beliau berkata, tidak ada ruang untuk bersikap cuai atau berpuas hati kerana dengan hanya membuat satu kesilapan akan memberi impak meluas dan menjejaskan perjuangan memerangi pandemik.

“Perjuangan Labuan untuk menentang pandemik Covid-19 masih dilakukan dengan penuh semangat, pelaksanaan vaksinasi yang baik dan ujian yang berterusan. Oleh itu, kita perlu mengingatkan pengguna dan penggiat industri agar tidak mudah berpuas hati,” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Bashir berkata berikutan penurunan jangkitan Covid-19 di Labuan sejak beberapa bulan lepas, orang ramai dilihat semakin berminat untuk keluar dan mungkin secara tidak sedar, menjadi kurang berhati-hati.

“Setiap individu perlu sedar bahawa ancaman Covid-19 masih belum berakhir kerana masih banyak negeri yang mencatatkan peningkatan jangkitan,” katanya.

Bashir berkata, peringatan itu tidak bertujuan menimbulkan ketakutan, sebaliknya untuk mengingatkan orang ramai agar terus melaksanakan langkah pencegahan yang sewajarnya supaya pulau itu dapat bebas daripada pandemik ini.

“Sehubungan itu, kita mungkin menyaksikan penularan dan kluster penyebaran virus pada masa akan datang, yang akan menyebabkan jumlah kes Covid-19 sekali lagi meningkat.

“Ini disebabkan koronavirus ini berjangkit daripada satu individu kepada individu. Setiap orang yang mendapat jangkitan, secara purata akan menjangkiti kira-kira dua lagi individu dan ada yang menyebarkan jangkitan kepada lebih ramai individu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bashir berkata, langkah berjaga-jaga juga mesti diambil supaya pekerja dan pelanggan tidak dijangkiti atau menyebarkan Covid-19 dalam keadaan perniagaan dibuka semula dan pelaksanaan program vaksinasi yang masih berterusan.

Labuan adalah yang pertama memasuki Fasa Empat dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Susulan peralihan itu, Majlis Keselamatan Negara telah bersetuju melonggarkan kuarantin wajib kepada individu dan kru kapal yang memasuki Labuan, seperti dicadangkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan (LDMC).

Mengenai SOP kepada kru kapal, Pengerusi LDMC Rithuan Ismail berkata, mereka (kru kapal) digalakkan mendapatkan vaksinasi dan menjalani ujian RT-PCR di pelabuhan terakhir sebelum berlepas.

Pemilik kapal yang beroperasi di perairan domestik perlu membuat pengisytiharan bahawa kapal mereka adalah bebas daripada gejala Covid-19 dalam tempoh 14 hari dan 21 hari di perairan antarabangsa.

Beliau berkata, tidak ada sekatan bagi pertukaran kru kapal atau ‘sign on’ dan ‘sign off’ (terpakai hanya untuk kru rakyat Malaysia yang bekerja di kapal berdaftar di Malaysia).

“Tidak akan ada arahan kuarantin untuk kru yang bakal tiba tetapi hanya untuk mereka yang dengan keputusan negatif bagi ujian RT-PCR,” kata Rithuan. -Bernama