UniSZA sasar 70 peratus pelajar masuk kampus bermula 15 Oktober

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyasarkan kemasukan 70 peratus daripada 9,839 pelajarnya ke kampus secara fizikal bermula 15 Oktober depan.

Pemangku Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam berkata, kemasukan pelajar akan dilakukan secara berfasa mengikut jadual tertentu bagi mengelakkan sebarang kesesakan atau perhimpunan yang ramai.

Beliau berkata, setakat 10 September lalu, peratusan pelajar UniSZA yang telah menerima satu atau dua dos vaksin telah mencapai 86 peratus dan bilangan itu dijangka meningkat kepada 90 peratus menjelang bulan depan.

"Namun begitu, keutamaan akan diberi kepada pelajar daripada program pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel, peralatan khas dan pelajar badan beruniform yang perlu melengkapkan silibus mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain itu, katanya, pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan pembelajaran dalam talian turut dibenarkan ke kampus.

Fadzli berkata, pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) dan pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional juga diberi keutamaan kembali ke kampus.

Beliau berkata, UniSZA telah memohon bantuan pusat pemberian vaksin di Institut Pengajian Tinggi seluruh negara untuk mempercepatkan proses pelajar UniSZA mendapatkan janji temu vaksinasi.

"UniSZA turut merancang satu sesi kaunseling kesihatan kepada pelajar yang masih belum mendaftar di MySejahtera atau tidak berminat mendapatkan vaksin bagi memberi penjelasan berkaitan dan mengetahui masalah mereka," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: