Kehadiran pengunjung ke Port Dickson masih terkawal

Mohamad menerima kad ucapan penghargaan daripada murid dan guru Tabika Perpaduan Kampung Semarak Rahang, Seremban di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan pada Selasa.
Mohamad menerima kad ucapan penghargaan daripada murid dan guru Tabika Perpaduan Kampung Semarak Rahang, Seremban di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Kehadiran pengunjung ke lokasi pelancongan di Negeri Sembilan terutama di Port Dickson susulan peralihan ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berada dalam keadaan terkawal.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, bagaimanapun orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Berdasarkan maklumat yang saya terima daripada polis dan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), keadaan masih terkawal tetapi kita jangan terlalu ghairah sangat, SOP perlu terus dipatuhi.

"Walaupun kes di Negeri Sembilan sudah mula menurun, tapi kita tidak mahu nanti disebabkan pembukaan pusat pelancongan pada fasa tiga ini, kes akan meningkat semula," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, di sini pada Selasa.

Menurutnya, pemantauan akan diadakan secara berterusan bagi memastikan orang ramai terus mematuhi SOP ditetapkan.

Mohamad sebelum itu menerima kunjungan daripada murid-murid dan Guru Tabika Perpaduan Kampung Semarak Rahang, di sini yang menyerahkan kad ucapan terima kasih tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

Kad berkenaan diserahkan oleh tiga murid sebagai mewakili 25 murid di tabika terbabit bersama guru tabika iaitu Rusni Shamsudin, 55, dan Nirzatul Nalis, 29.

Sementara itu Rusni berkata, program berkenaan dilaksanakan sempena Bulan Kemerdekaan dan ia melibatkan sebanyak 56 tabika perpaduan di Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi program ini, murid-murid diminta membuat kad penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan tabika kami memilih pasukan polis.

"Murid-murid kami yang terdiri daripada berbilang kaum mengambil masa satu minggu untuk menyiapkan kad ini," katanya.