Empat agenda utama Mindef

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Bernama
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan (Mindef) menumpukan empat agenda utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk diketengah dalam Belanjawan 2022 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keempat-empat agenda merangkumi pemerkasaan usaha membela kebajikan anggota dan veteran, meletakkan agenda memperkukuh keselamatan negara sebagai keutamaan tertinggi, mengekalkan tahap keupayaan dan kesiagaan serta menumpukan usaha menyelenggara aset sedia ada.

“Usaha membela kebajikan itu dengan penumpuan diberikan daripada sudut perumahan serta perkhidmatan kesihatan.

“Pengukuhan keselamatan negara pula bermaksud Mindef mahupun ATM tidak lagi hanya terarah usaha menguatkan pertahanan fizikal, bahkan mesti turut memperkukuhkan lagi pertahanan siber sedia ada memandangkan platform maya semakin kerap digunakan,” katanya pada sidang media khas di Wisma Pertahanan hari ini.

Beliau berkata agenda ketiga mengambil kira dapatan perincian dan kemas kini berhubung perkara yang diperlukan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM meliputi Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia selain perolehan aset baharu.

"Saya sedia faham berhubung keperluan namun dalam memikirkan perancangan melaksanakan perolehan aset baharu ketika ini, situasi ekonomi serta penularan wabak Covid-19 juga harus diambil kira.

"Perbincangan telah dibuat dengan kesemua tiga cabang ATM dan apa yang paling penting ketika ini tumpuan mesti terus diberikan terhadap usaha penyelenggaraan aset sedia ada," katanya.

Hishamuddin berkata, agenda itu sebagai menjunjung sepenuhnya titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 pagi tadi supaya aspek pertahanan dan keselamatan negara termasuk keselamatan siber tidak dialpakan.

Artikel Berkaitan:

"Kepimpinan tertinggi Mindef dan ATM akan terus menggembleng usaha bagi menambah baik perancangan demi mempertahan keselamatan negara di samping membela kesejahteraan Keluarga Malaysia.

"Saya juga ingin menjunjung kasih atas penghargaan dititahkan oleh Seri Paduka kepada pasukan keselamatan negara termasuk ATM yang telah menumpahkan taat setia, pengorbanan dan sumbangan kepada kemakmuran, keselamatan serta kedaulatan negara terutama pada era Covid-19," katanya.

Beliau berkata, penghargaan Al-Sultan Abdullah yang juga Pemerintah Tertinggi ATM akan menambah semangat dan mengukuhkan tekad anggota pasukan keselamatan itu dan warga awam Mindef untuk terus menyumbang khidmat bakti demi kepentingan tanah air tercinta. - Bernama