Gunung Jerai akan dilengkapi sistem amaran bencana

Tunku Iskandar Shah (dua dari kiri) menyerahkan sijil kelahiran baharu kepada Rahmah Yusuf, 74, pada satu majlis di Yan pada Isnin. Dokumen asal Rahmah hilang dibawa arus dalam kejadian kepala air Gunung Jerai. Turut serta ialah Saadon (kiri).
Tunku Iskandar Shah (dua dari kiri) menyerahkan sijil kelahiran baharu kepada Rahmah Yusuf, 74, pada satu majlis di Yan pada Isnin. Dokumen asal Rahmah hilang dibawa arus dalam kejadian kepala air Gunung Jerai. Turut serta ialah Saadon (kiri).
A
A
A

YAN - Kawasan peranginan Gunung Jerai akan dilengkapi sistem amaran awal bencana bagi memastikan tragedi kepala air yang mengorbankan enam mangsa baru-baru ini tidak berulang.

Pegawai Daerah Yan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah berkata, sistem amaran berkenaan membolehkan sebarang ancaman bencana dapat dikesan lebih awal.

Bagaimanapun, katanya, pemasangan sistem amaran itu masih dalam peringkat kajian dan siasatan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

"Kami sentiasa berbincang mengenai keperluan memasang sistem amaran bencana dan dijangka akan dapat dilakukan dalam beberapa bulan lagi," katanya selepas Program Mekar Prihatin Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Malaysia di pekarangan Majis Jamek Badlishah di sini pada Isnin.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan), Datuk Saadon Othman.

Tunku Iskandar Shah berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan di persekitaran Gunung Jerai menerusi laporan harian yang dikemukakan JMG.

"Saya juga merupakan Pengerusi Bencana Daerah. Setiap hari kita memantau keadaan di kawasan bencana bagi memastikan kawasan berkenaan selamat," ujarnya,

Beliau berkata, penduduk berdekatan kaki Gunung Jerai kini berada dalam fasa pertama pemulihan dengan memfokuskan kepada aktiviti pembersihan yang dijangka mengambil masa sehingga dua bulan lagi untuk kembali seperti sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Penduduk yang sebelum ini trauma dengan kejadian dilihat semakin pulih," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Pejabat Daerah Yan bercadang untuk merancakkan kembali aktiviti ekonomi dan rutin harian penduduk seperti membuka semula pasar malam, pasar tani dan pasar pagi dalam masa terdekat.

Sementara itu, Tunku Iskandar Shah berkata, hampir 4,000 orang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan turun membantu sejak daerah ini berdepan musibah kepala air hampir sebulan lalu.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak termasuk kementerian yang membantu memberikan sumbangan serta memudahkan urusan penduduk terjejas dengan banjir lumpur ini," katanya.

Menurutnya, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) akan terus mengedarkan bantuan kepada keluarga terlibat termasuk kepada keluarga B40 yang tinggal di luar kawasan bencana.

Pada 18 Ogos lalu, enam mangsa terkorban dalam kejadian banjir lumpur susulan tragedi kepala air dari Gunung Jerai sehingga menjejaskan 800 buah rumah di Yan dan 200 rumah di Kuala Muda.