Taktik 'Suriati Sue' raih simpati terbongkar

Tangkap layar peringatan yang ditularkan di laman sosial sejak Sabtu (Foto: Ihsan pembaca). Gambar kanan :Antara tangkap layar yang dikongsi mangsa untuk mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati. (Foto: ihsan pembaca)
Tangkap layar peringatan yang ditularkan di laman sosial sejak Sabtu (Foto: Ihsan pembaca). Gambar kanan :Antara tangkap layar yang dikongsi mangsa untuk mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati. (Foto: ihsan pembaca)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Taktik seorang wanita menyamar sebagai orang susah yang memiliki anak orang kelainan upaya (OKU) di aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook akhirnya terbongkar apabila beberapa tangkap layar dikongsi oleh pengguna laman sosial itu yang menjadi mangsa penipuannya.

Suspek yang menggunakan nama 'Suriati Sue' menagih simpati orang ramai memberi alasan bahawa dia memerlukan kos perbelanjaan bulanan yang besar kerana anaknya perlu diberi minum susu khas selain kos lampin pakai buang.

Wanita terbabit turut didakwa menagih simpati orang ramai kononnya memerlukan kos untuk membeli makanan kucing terbiar di bawah jagaannya dan pembiayaan perubatan haiwan-haiwan tersebut.

Alasan itu sekali gus menagih simpati orang ramai terutama pencinta haiwan berkenaan yang turut memuji niat baiknya yang sanggup bersusah payah demi melindungi haiwan-haiwan tersebut.

Salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lina, 39, mengakui perasaan simpatinya timbul selepas terbaca status yang memaklumkan memerlukan bantuan untuk membeli susu dan lampin pakai buang di akaun Facebook suspek yang memuatnaik beberapa keping gambar anaknya yang OKU.

Mengakui dia seorang yang lembut hati apa-apa perkara yang membabitkan keperluan anak, Lina terus menghubungi suspek selepas membaca hantaran wanita itu di Facebook.

"Saya ingin mendapatkan maklumat terperinci, kebetulan pula dia tinggal berhampiran kampung saya di Manir, Kuala Nerus,'' ujarnya yang mengambil keputusan untuk memberi sumbangan dalam bentuk wang tunai.

Malangnya, sebaik dia memaklumkan untuk membantu menghantar sendiri ke rumah suspek, wanita itu berdolak dalik seolah-olah tidak mengizinkan Lina ke rumahnya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Lina tetap berkeras dan meminta supaya suspek berkongsi lokasi rumah.

''Pada awalnya, dia ajak saya berjumpa di tepi jalan sahaja, namun saya tidak bersetuju kerana saya beri alasan hendak tengok anak sekali, akhirnya dia akur," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Cerita Lina lagi, hasil pemerhatiannya semasa di rumah suspek, kehidupan suspek tidaklah sesukar seperti yang digambar dan dikongsikan dalam laman sosial.

Namun, tetapi dia memujuk hatinya agar berprasangka yang baik-baik saja.

"Pada masa itu, saya tidak nampak anaknya yang didakwa OKU, tetapi saya tetap memujuk hati mungkin anaknya OKU tiada di rumah pada waktu itu,'' kongsinya.

Menurut Lina, beberapa hari kemudian dia terkejut selepas ternampak satu tangkap layar dimuat naik oleh seorang rakan dikenali yang menasihatkan orang ramai agar tidak tertipu dengan taktik licik ‘penipu’ terbabit yang menggunakan nama akaun Facebook ' Suriati Sue'.

“Rupanya, bukan saya sahaja terkena malah ramai lagi individu dari lain-lain negeri yang sudah pun beri banyak bantuan kewangan.

Ternyata, itu adalah taktik dia untuk ‘scam’ dan peroleh duit semudah itu,” katanya.

Kongsi Lina lagi, untuk kepastian dia ada bertanyakan penduduk setempat mengenai latar belakang wanita terbabit.

Ternyata, majoriti penduduk kampung memaklumkan sudah mengetahui sikap sebenar suspek yang suka menipu.

"Mereka memaklumkan, bukan tidak pernah menasihatinya agar menghentikan sikap buruk itu, tetapi suspek tidak boleh ditegur.

"Sebabkan itulah, kebanyakan mangsa penipuannya majoriti adalah orang luar," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa dikenali dengan nama Din, 34, dari Johor Bahru, mendakwa, dia juga berasa simpati selepas terbaca status yang dimuatnaik suspek dalam akaun Facebook menggunakan nama 'Suriati Sue'.

"Ditambah pula, saya memang salah seorang ahli Persatuan Pencinta Haiwan (kucing), jadi saya puji semangatnya walaupun susah namun sanggup membela nasib kucing jalanan.

"Saya terus bersetuju menghulurkan bantuan berbentuk wang tunai kerana jarak kami jauh, jadi saya hanya minta nombor akaun bank untuk dimasukkan wang sebelum dia memberi saya dua akaun bank dengan nama berbeza," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sebelum mengambil keputusan menghulurkan bantuan lebih-lebih lagi jika dikongsi di laman sosial.

"Taktik penipuan menggunakan modus operandi meraih simpati orang ramai di laman sosial sememangnya sudah lama berlaku, bagaimanapun sehingga hari ini, kami tidak menerima sebarang laporan melibatkan penipuan sedemikian daripada mangsa.

"Salah satu faktor mengapa mangsa tidak mahu membuat laporan polis kerana ia melibatkan jumlah kerugian yang sangat kecil, jadi di sini saya ingin ingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terutama berurusan dengan individu yang tidak dikenali di laman sosial," katanya.