PDRM sedia beri kerjasama cegah aktiviti khurafat di Gunung Jerai

Mazlan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada warga kerja dan pesara PDRM yang terlibat bencana banjir lumpur di Gunung Jerai, Yan pada Ahad.
Mazlan (kiri) menyampaikan sumbangan kepada warga kerja dan pesara PDRM yang terlibat bencana banjir lumpur di Gunung Jerai, Yan pada Ahad.
A
A
A

YAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Agama Islam negeri dalam usaha membanteras aktiviti pemujaan dan khurafat yang dikesan berlaku di kawasan Gunung Jerai.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pemantauan akan dilaksanakan oleh pihak polis untuk mengekang aktiviti terbabit.

Walau bagaimanapun katanya, tindakan selanjutnya dari segi penguatkuasaan memerlukan pengesahan pihak Jabatan Agama.

"Oleh itu, kita akan sentiasa bekerjasama dalam isu ini dan kita akan membantu apa yang diperlukan oleh Jabatan Agama," katanya ketika ditemui selepas Majlis Outreach Psikologi dan Spiritual Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM kepada warga kerja serta pesara PDRM yang terlibat bencana banjir lumpur di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Senator Idris Ahmad meminta segala aktiviti pemujaan dan khurafat yang dikesan berlaku di kawasan itu, dihentikan segera memandangkan ia satu perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam serta boleh merosakkan akidah.

Beliau berkata, kegiatan itu juga boleh mengundang bala kepada masyarakat kerana bukan sahaja pelaku akan menerima kesan malah akan melibatkan keseluruhan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Sebelum ini sebuah akhbar tempatan melaporkan penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Jerai mengharapkan segala aktiviti pemujaan dan khurafat di kawasan itu dapat dihentikan dan dibersihkan setelah berlakunya bencana di kawasan terbabit.

Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, setakat ini hampir 100 peratus pegawai dan anggota PDRM telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hanya terdapat sebilangan kecil warga PDRM belum menerima suntikan vaksin disebabkan faktor kesihatan selain masih menunggu tarikh janji temu.

"Tidak berlaku penolakan vaksin tanpa sebab dalam kalangan warga PDRM sebaliknya ada segelintir yang tidak ambil disebabkan faktor kesihatan seperti alahan," katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 16 penerima termasuk warga kerja Ibu Pejabat Polis Daerah Yan dan pesara PDRM yang terjejas dengan bencana itu menerima zakat PDRM dengan setiap seorang memperoleh wang tunai RM1,000 bersama bekalan makanan bernilai RM100.