Pendaftaran MyVac melebihi keperluan

Ahmad Faizal (kiri) ketika meninjau penugasan suakrelawan MyVac di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.
Ahmad Faizal (kiri) ketika meninjau penugasan suakrelawan MyVac di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Individu mendaftar untuk menyertai inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) melebihi daripada keperluan sejak pendaftarannya dibuka pada Februari lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sehingga September data merekodkan pendaftaran mencecah 320,000 orang dan daripada jumlah itu, 8,187 sukarelawan telah ditugaskan di 417 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.

"Kalau diikutkan kepada respon (pendaftaran), ia sangat menggalakkan malah jumlah yang ada sekarang ini sudah sampai tahap over whelming dan over supply.

"Permintaan untuk penempatan di PPV ini hanya dapat dipastikan selepas mereka melalui beberapa proses saringan termasuk latihan secara dalam talian," katanya dalam sidang akhbar sempena perjumpaan bersama sukarelawan MyVac di Stadium Indera Mulia di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Wasitah Yusof dan Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Ahmad Faizal berkata, golongan belia menjadi kumpulan terbesar mendaftar dalam program MyVac ini dan kebanyakan mereka dikesan terjejas disebabkan pandemik Covid-19 antaranya tiada peluang pekerjaan serta diberhentikan kerja.

Katanya, selain mengutamakan belia, kementerian melalui MyVac@Sportindustry juga memberi fokus kepada pekerja penggiat industri sukan yang terjejas akibat pandemik untuk mendaftar.

"Diyakini jumlah sukarelawan MyVac ini akan bertambah dari semasa ke semasa selari dengan pembukaan PPV baharu yang sememangnya memerlukan khidmat mereka sebagai petugas sokongan.

Artikel Berkaitan:

"Inisiatif MyVac ini bukan sahaja membantu petugas kesihatan dalam menjayakan imunisasi, malah meringankan bebanan individu yang kehilangan pekerjaan apabila sukarelawan ini diberi kadar bayaran elaun RM50 sehari," katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu turut memberitahu, seramai 21,183 individu telah mendaftar sebagai sukarelawan MyVac di Perak dan daripada jumlah itu 979 orang di tempatkan di 25 PPV di seluruh negeri.

"PPV Stadium Indera Mulia merekodkan sukarelawan paling ramai iaitu seramai 45 orang sehari dengan jumlah terkumpul bertugas seramai 117 orang," katanya.