16 September wajar dirai sebagai Hari Kebangsaan

Dr Hamdan
Dr Hamdan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Tarikh 16 September setiap tahun yang disambut bagi memperingati penubuhan persekutuan Malaysia pada 1963 wajar dirai sebagai Hari Kebangsaan.

Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Hamdan Aziz berkata, istilah itu dilihat lebih tepat kerana ia merujuk kepada perkara memperingati perihal berkaitan bangsa.

"Perkataan kebangsaan merujuk kepada perkara berkaitan dengan negara secara keseluruhan (nasional) termasuk hal yang dipilih sebagai lambang keperibadian sesebuah negara seperti pakaian, bahasa dan seumpamanya," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Naib Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Terengganu berkata, penggunaan istilah Hari Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan kadangkala menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat.

"Berdasarkan Akta 369 (Akta Hari Kelepasan 1951) Pindaan 2013, menyebut 31 Ogos yang disambut setiap tahun adalah Hari Kemerdekaan atau disebut Hari Kebangsaan.

"Ini kerana Hari Kemerdekaan dirayakan oleh seluruh rakyat untuk memperingati hari pembebasan atau kemerdekaan negara.

"Namun, jika dilihat kepada ungkapan atau perkataan yang dilaungkan sebanyak tujuh kali oleh Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957, Tunku melaungkan perkataan 'Merdeka!' yang sesuai dengan sambutan Hari Kemerdekaan Tanah Melayu, " katanya.

Menurutnya, tarikh 16 September yang sambut sebagai Hari Malaysia pula wajar disambut sebagai Hari Kebangsaan memandangkan pembentukan Malaysia telah membentuk satu rumpun bangsa yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menjadi satu bangsa iaitu bangsa Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tarikh 31 Ogos setiap tahun pula disambut sebagai Hari Kemerdekaan oleh semua rakyat Malaysia dengan menumpukan taat setia kepada negara tanpa berbelah bahagi dan dalam masa sama mempertahankan kedaulatan negara.

"Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewujudkan keluarga Malaysia juga tepat pada masanya kerana 16 September adalah manifestasi kepada semangat kekeluargaan seluruh rakyat Malaysia yang mementingkan keharmonian, keamanan dan kestabilan untuk membentuk kemakmuran bersama, " katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan Federation of Malaya Independence Act 1957 yang diluluskan Parlimen Britain pada 31 Julai 1963 bahawa Tanah Melayu 'sebagai sebuah negara merdeka dalam negara Komanwel', menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara yang dijajah oleh kuasa kolonial seperti Portugis, Belanda, British, Jepun dan Siam, bukannya dinaungi.

Katanya, tanggapan samada dijajah atau dinaungi tidak merubah fakta bahawa kuasa politik dan pemerintahan, ekonomi, kedaulatan Raja-raja dan orang Melayu hampir lima abad dikuasai orang asing.

Mengimbas kembali sejarah penubuhan Malaysia, beliau berkata, Tunku Abdul Rahman mengemukakan idea untuk merealisasikan penubuhan Malaysia pada 27 Mei 1961 dan mendapat dokongan kerajaan Britain serta direstui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun negara jiran seperti Filipina dan Indonesia menentang.

"Filipina menentang penubuhan Malaysia kerana menganggap Sabah sebagai wilayah Kesultanan Sulu yang dipajak manakala Indonesia menganggap penubuhan Malaysia sebagai imperialisme bentuk baharu.

"Pada 9 Julai 1963, Perjanjian Malaysia dimeterai di London. Mereka kemudian bersepakat menetapkan penubuhan Malaysia berlangsung 31 Ogos 1963, bersempena hari kemerdekaan Tanah Melayu.

"Pada 22 Ogos 1963, Akta Malaysia sekali dimeterai di Singapura Sebagai persediaan kepada penubuhan Malaysia, maka Sarawak diberi taraf berkerajaan sendiri (self-government) pada 22 Julai 1963. Sabah pula berkerajaan sendiri pada 31 Ogos 1963.

"Apa yang perlu difahami bahawa istilah 'berkerajaan sendiri' tidak bermaksud tarikh kemerdekaan negeri tersebut tetapi persediaan untuk mendapat status kemerdekaan.

"Beberapa perkara penting seperti kuasa keselamatan dalam negeri dan hubungan luar masih dikuasai sepenuhnya oleh kerajaan British," ujarnya.

Dr Hamdan menjelaskan, kerajaan sendiri juga membawa maksud pemerintahan yang setengah merdeka dan bukannya kemerdekaan penuh di mana beberapa contoh iaitu Tanah Melayu juga diberi status 'berkerajaan sendiri' setelah Parti Perikatan memenangi pilihan raya pada 27 Julai 1955 dan Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Perdana Menteri.

Selain itu, katanya, Singapura juga 'berkerajaan sendiri' setelah PAP yang dipimpin Lee Kuan Yew memenangi pilihan raya umum 1959.

"Apa yang berlaku Sabah, Sarawak dan Singapura adalah 'merdeka melalui Malaysia'. Bermaksud, tanpa penubuhan Malaysia, kemerdekaan ketiga-tiga negeri tidak berlaku ketika itu.

"Begitu juga jika tanpa kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, penubuhan Malaysia tidak berlaku sekalipun ditentang oleh beberapa pihak seperti Indonesia dan Filipina serta penarikan Brunei untuk menyertai Malaysia malah U Thant selaku Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersetuju bahawa penubuhan Malaysia dimuktamadkan pada 16 September 1963," katanya.

Menurut Dr Hamdan, kenyataan U-Thant berdasarkan dapatan tinjauan Suruhanjaya Cobbold di Sabah dan Sarawak yang diterbitkan 1 Ogos 1962 mendapati majoriti penduduk di kedua-dua negeri bersetuju dengan penubuhan Malaysia sekalipun terdapat sebilangan kecil yang tidak bersetuju.

Beliau berkata, Lord Cobbold dalam rumusannya menyebut bahawa penubuhan Malaysia sebagai 'can offer better prospects for prosperity' manakala referendum yang dijalankan di atas kertas undi di Singapura juga mendapati 73.89 peratus bersetuju Singapura menyertai Malaysia.

"Pilihan A, seramai 397 626 pengundi daripada 414,959 bersetuju untuk bergabung dengan syarat–syarat yang telah ditetapkan oleh kedua-dua pihak.

"Rumusannya, Singapura yang dikeluarkan daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, selayaknya menggunakan istilah Hari Kebangsaan pada 9 Ogos setiap tahun dan bukan Hari Kemerdekaan," katanya.