LADA raih Anugerah Emas PATA 2021 kategori Artikel Warisan

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memenangi Anugerah Emas Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) 2021 bagi kategori Artikel Warisan.

LADA dalam satu kenyataan Sabtu malam memaklumkan anugerah berprestij yang dianjurkan sejak 26 tahun itu berlangsung secara maya pada Rabu lalu dengan mengambil kira situasi penularan Covid-19 di seluruh dunia yang masih belum menunjukkan tanda penyusutan.

"Hadir secara maya bagi mewakili LADA untuk menerima anugerah tersebut ialah Pengurus Bahagian Pelancongan Azmil Munif Mohd Bukhari," menurut kenyataan itu.

Anugerah Emas PATA 2021 anjuran Pejabat Pelancongan Kerajaan Macao (MGTO) diadili panel penilai antarabangsa yang terdiri daripada 18 individu berkecuali dari Thailand, Taiwan, Jepun, Malaysia, Hong Kong, Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

Kenyataan itu memaklumkan penganjuran pada tahun ini menyaksikan sebanyak 113 penyertaan daripada 51 individu dan organisasi daripada bidang kembara dan pelancongan dari seluruh dunia.

"Secara keseluruhan, 20 kategori anugerah telah dipertandingkan yang merangkumi dua tema utama berkaitan pelancongan iaitu pemasaran serta kelestarian dan tanggungjawab sosial.

"18 kategori anugerah emas yang berbeza telah dianugerahkan kepada para pemenang serata dunia antaranya LADA. LADA amat berbesar hati menerima anugerah terhormat daripada PATA pada kali ini," kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib menerusi kenyataan sama berkata, anugerah itu menjadi sumber motivasi utama yang mendorong LADA dan pemain industri untuk terus memastikan sektor pelancongan Langkawi bergerak ke arah mengutamakan kelestarian dan tanggungjawab sosial khususnya dalam menghadapi cabaran era penularan wabak Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: