Kerajaan timbang salur subsidi kepada pengeluar ayam utama

Rosol (tengah) meninjau harga ayam di Pasar Pekan Ajil di Hulu Terengganu pada Sabtu.
Rosol (tengah) meninjau harga ayam di Pasar Pekan Ajil di Hulu Terengganu pada Sabtu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Kerajaan mempertimbangkan untuk menyalurkan subsidi terhadap 20 pengeluar utama yang membekalkan 80 peratus ayam di pasaran negara dalam usaha menstabilkan harga sumber makanan itu sehingga ke peringkat pengguna akhir.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu bagi membantu menampung peningkatan harga ekoran kenaikan harga komponen makanan ternakan di pasaran antarabangsa.

"Kerajaan mempertimbangkan untuk memberi subsidi di peringkat ladang sekiranya harga komponen makanan ayam iaitu jagung dan soya di pasaran dunia melonjak pada tempoh dan paras tertentu.

"Apabila harga ayam rendah di peringkat ladang, harga ayam di peringkat borong dan runcit akan dapat dikawal sekali gus tidak membebankan pengguna," katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Pekan Ajil di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Rosol berkata, harga jualan ayam tertinggi yang direkodkan setakat ini ialah RM11 sekilogram (kg) iaitu di Pasar Basah Gopeng, Perak.

"Purata harga semasa jualan ayam di pasar basah seluruh negara ialah RM9 hingga RM10.50 sekilogram.

"Bagaimanapun, masih ada premis pasar basah di seluruh negara yang menjual ayam pada harga lebih rendah iaitu sekitar RM8 hingga RM8.50 sekilogram," katanya.

Menurut Rosol, terdapat juga premis menjual ayam pada harga lebih rendah antaranya di beberapa pasar raya seluruh negara iaitu pada harga RM5.99 sekilogram.

Artikel Berkaitan:

"Harga jualan ayam di pasar raya lazimnya lebih murah berbanding di pasar basah kerana pasar raya kebiasaannya membuat pembelian bekalan secara kontrak jangka panjang dan dalam kuantiti besar untuk memenuhi permintaan di semua rangkaian pasar raya terbabit di seluruh negara, " katanya.

Dalam pada itu, Rosol berkata, KPDNHEP mengambil serius kepentingan pengguna dan peniaga dan sedang merangka mekanisme terbaik untuk atasi isu ini.

Menurutnya, KPDNHEP telah melancarkan Ops Catut (Pasar) 8.0 bermula Khamis lalu bagi menyiasat faktor kenaikan ayam di semua peringkat rantaian bermula daripada penternak atau pengeluar, pemborong dan peruncit.

Katanya, sehingga Jumaat, sebanyak 63 premis pengeluar, pemborong dan peruncit di seluruh negara telah diperiksa di mana 63 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) dan 56 Notis Bertulis (NB) dikeluarkan kepada peniaga untuk siasatan lanjut sekiranya berlaku unsur pencatutan dalam jualan ayam hidup, ayam standard dan ayam super.

"Sepanjang Ops Catut (Pasar) 8.0, penguat kuasa KPDNHEP telah mengeluarkan 12 Surat Pemberitahuan yang meminta peniaga menyemak semula harga dan menurunkan kadar harga jualan.

"Mana-mana peniaga yang didapati mencatut atau mengaut untung tinggi yang tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya.