Dua pekerja lombong ditemukan lemas

Anggota bomba membantu menaikkan mayat salah seorang mangsa yang ditemukan lemas dalam kolam tadahan di tapak lombong bijih besi di Batu Talam, Cheroh, Raub pada Jumaat.
Anggota bomba membantu menaikkan mayat salah seorang mangsa yang ditemukan lemas dalam kolam tadahan di tapak lombong bijih besi di Batu Talam, Cheroh, Raub pada Jumaat.
A
A
A

RAUB - Dua pekerja sebuah lombong bijih besi ditemukan lemas selepas terjatuh di kolam tadahan di sebuah tapak lombong di Batu Talam, Cheroh, di sini pada Jumaat.

Mayat mangsa, Siak Teck Wah, 53, dan warga Indonesia, Adi Piter, 25, ditemukan antara jam 12.30 tengah hari hingga 1.15 petang oleh pasukan bomba yang menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemukan tersangkut pada paip saluran keluar di dasar kolam yang dianggarkan sedalam lima meter.

Menurutnya, mangsa dipercayai disedut paip saluran itu selepas terjatuh menyebabkan kedua-duanya lemas.

Mayat kedua-dua mangsa lemas di kolam tadahan sebuah tapak lombong bijih besi di Batu Talam, Cheroh, Raub pada Jumaat diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat. - Foto JBPM PAHANG.

"Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku kira-kira jam 10.40 pagi ketika Teck Wah ke kolam berkenaan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan ekoran keadaan airnya yang keruh sebelum terjatuh.

"Kejadian disedari salah seorang pekerja di situ lalu dia menjerit memberitahu rakan lain untuk membantu.

"Ketika itu, seorang lagi mangsa, Adi Piter dipercayai turun ke dalam kolam untuk menyelamatkan Teck Wah sebelum kedua-duanya tenggelam," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Kama Azural berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 11.20 pagi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub sebelum mengarahkan anggota ke lokasi kejadian.

"Pihak bomba memulakan operasi SAR sekitar jam 12 tengah hari menggunakan teknik melempar cangkuk di lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

"Mangsa pertama berjaya ditemukan berdekatan paip salur keluar air di kolam tersebut," katanya.

Menurutnya, jentera jengkaut digunakan untuk membuka salur kolam supaya air cepat surut untuk mencari mangsa yang kedua.

Jengkaut turut digunakan untuk membuka salur kolam supaya air cepat surut untuk mencari mangsa lemas di kolam tadahan sebuah tapak lombong bijih besi di Batu Talam, Cheroh, Raub pada Jumaat. - Foto JBPM PAHANG

"Mangsa pertama tidak dapat dinaikkan ketika itu kerana tekanan air masih kuat dan kaki mangsa berada di dalam salur paip tersebut.

"Mangsa kedua berjaya ditemukan berdekatan tempat mangsa pertama juga dalam keadaan kaki berada dalam saluran paip.

"Mayat kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan jam 1.20 petang sebelum dibawa ke Hospital Raub untuk proses bedah siasat," katanya.