Kelantan FC ada ramuan tumbangkan JDT II: Rezal Zambery

Rezal Zambery.- Foto Facebook TRW Kelantan FC
Rezal Zambery.- Foto Facebook TRW Kelantan FC
A
A
A

PEMAIN Kelantan FC berada dalam momentum terbaik untuk mencatatkan kemenangan apabila melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim II (JDT II), pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini pada petang Sabtu.

Penolong Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, pemain bimbingannya yang masih segar dengan kejayaan menang 2-1 ke atas Negeri Sembilan FC pada aksi sebelum ini, tidak akan memberi laluan mudah buat pasukan lawan dari selatan tanah air itu.

“Kelantan FC mahu tiga mata penuh esok, kami kena akui JDT II adalah pasukan kuat, namun saya melihat peluang untuk menang tetap sama rata dan kami akan memberi tentangan sengit terutamanya apabila bermain di tempat sendiri,” katanya ketika dihubungi, di sini oada Jumaat.

Rezal Zambery berkata, beliau meletakkan kepercayaan kepada pemain untuk mencipta kejutan pada perlawanan petang esok.

Selepas 18 perlawanan, Kelantan FC kini berada di kedudukan ketujuh dengan 24 mata hasil daripada tujuh kemenangan, tiga seri dan lapan kekalahan.

Beliau berkata, dalam keghairahan mencari kemenangan, pemain pertahanan Kelantan FC juga perlu lebih memberi tumpuan dan tidak alpa sepanjang aksi berlangsung.

“Jangan melakukan kesilapan mudah kerana kita sedar kemampuan yang ada pada penyerang JDT II yang boleh menghukum mana-mana pasukan lawannya, dan jangan beri banyak ruang kepada mereka untuk bermain bola dengan cara hantaran pendek terutamanya di kawasan kotak penalti,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: