Hampir 270,000 individu dewasa di Perak belum daftar vaksin

Data semasa yang dikongsi menerusi portal Covidnow mengenai jumlah vaksinasi rakyat Perak. Gambar kecil: Mohd Akmal Kamarudin
Data semasa yang dikongsi menerusi portal Covidnow mengenai jumlah vaksinasi rakyat Perak. Gambar kecil: Mohd Akmal Kamarudin
A
A
A

IPOH - Seramai 269,309 individu dewasa berusia 18 tahun ke atas masih belum mendaftar untuk divaksin di Perak.

Berdasarkan data semasa dikeluarkan Kementerian Kesihatan menerusi portal Covidnow, sebanyak 1.59 juta penduduk dewasa di negeri ini telah mendaftar sehingga jam 3 petang pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, seramai 156,260 orang masih menunggu janji temu untuk divaksin.

Bagi jumlah individu yang menerima vaksin pula, seramai 1.44 juta penduduk Perak yang telah menerima vaksin dengan 987,059 individu daripadanya telah lengkap divaksinasi manakala selebihnya hanya menerima satu dos suntikan.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, sebahagian mereka belum mendaftar untuk vaksinasi itu antara individu yang menolak untuk divaksin.

Menurutnya, selain itu juga, mereka yang tiada kemudahan telefon pintar, tidak tahu mendaftar, berada di kawasan pedalaman dan tidak layak untuk menerima vaksin turut berada dalam kumpulan yang masih belum mendaftar untuk divaksin.

Beliau berkata, beberapa usaha dilakukan Pasukan Agen Basmi Covid-19 (ABC 19) di negeri ini bagi menggalakkan penduduk mendaftar untuk menerima vaksin.

"Pasukan ini yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diwujudkan bagi membantu menjayakan pendaftaran vaksinasi di peringkat daerah, mukim dan kampung.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, program vaksinasi secara outreach dilaksana secara bersasar oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) di peringkat daerah dengan kerjasama NGO di beberapa kawasan bersasar dan pedalaman termasuk penempatan orang asli," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Mohd Akmal, dalam usaha meningkatkan pendaftaran vaksinasi dalam kalangan rakyat di negeri ini, peranan boleh dimainkan oleh ketua-ketua jabatan bagi sektor awam dan majikan bagi sektor swasta.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, polisi vaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah secara sukarela namun promosi serta maklumat berkenaan vaksin Covid-19 selalu diuar-uarkan melalui media massa.