X

Kindly register in order to view this article
!

Stigma wakil rakyat hulur duit perlu dihentikan

Mohd Asri
A
A

SHAH ALAM - Stigma atau pandangan rakyat terhadap wakil rakyat yang menghulurkan duit sebagai pemimpin yang baik perlu dihentikan bagi mengelakkan rasuah berakar umbi.

Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, rakyat perlu difahamkan mengenai peranan dan jawatan yang ada dalam negara khususnya membabitkan wakil rakyat dan ahli Parlimen.

Menurutnya, kebanyakan masyarakat menganggap wakil rakyat yang selalu melihat kawasan, melawat penduduk sakit, menghadiri kenduri perlu bersalam disertai pemberian wang.

“Kalau kenduri kena bagi sikit sumbangan. Lama-lama, peranan wakil rakyat, ahli Parlimen ialah bagi bantuan. Bila nak bagi, mereka perlukan duit yang banyak. Bila perlu duit banyak, wakil rakyat ini akan makan modal dia.

“Bila makan modal dia, dia mesti terfikir untuk mencari modal tambahan dengan mencari pendapatan sampingan. Inilah yang menyebabkan dia fikir, kalau lagi banyak duit diberi, lagi banyak orang suka, lagi banyak pendapatan sampingan yang dicari.

“Ini akan menyuburkan rasuah, padahal itu bukan peranan wakil rakyat dan ahli Parlimen. Selagi kita tidak difahamkan, selagi itu ia akan berleluasa,” katanya dalam Wacana Sinar Harian yang bertajuk ‘Malaysia Tuntut Reformasi Politik Bebas Rasuah’ pada malam Khamis.

Wacana itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan panel yang terdiri daripada Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia, Badlishah Sham Baharin dan Ketua Pejuanita Muda Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Dr Nurul Ashikin Mabahwi.

Mohd Asri berkata, dalam masyarakat mereka yang terlibat dengan kes khalwat atau ditangkap ditular dan dikutuk, sebaliknya pemimpin yang terlibat dengan rasuah membabitkan puluhan dan ratusan juta ringgit masih boleh balik ke kawasan serta disambut dengan mesra dan bangga oleh penduduk.

Wacana Sinar Harian yang bertajuk ‘Malaysia Tuntut Reformasi Politik Bebas Rasuah’ pada malam Khamis dikendalikan moderator, Ismail Adnan.
Wacana Sinar Harian yang bertajuk ‘Malaysia Tuntut Reformasi Politik Bebas Rasuah’ pada malam Khamis dikendalikan moderator, Ismail Adnan.

Jelasnya, ini membuktikan masyarakat mempunyai imbangan yang salah kerana gagal membezakan salah faham terhadap konsep agama.

“Salah kita terhadap dosa mana yang patut ditegaskan dan dosa mana yang patut kita minta supaya dia taubat antara dia dengan Tuhan. Dosa rasuah akan menyebabkan pengambilan harta rakyat. Ini tidak boleh diselesaikan dengan sekadar ustaz pergi baca doa, dibaca dalam majlis dia. Ini semua bukan penyelesaiannya.

“Kita tak boleh hentikan hal ini selagi kesedaran mengenai rasuah tidak secara serentak dalam masyarakat. Tapi, kalau wakil rakyat bagi duit, kita pun suka. Saya tidak kata rasuah tapi maksudnya kalau wakil rakyat datang kenduri di rumah dan beri RM20, dia kata ni pun (orang lain) bagi RM50.

“Jadi, masyarakat akan menilai bagus atau tidak wakil rakyat itu dengan berapa nilai duit yang diberi. Itulah yang menggalakkan wakil rakyat, orang politik mesti ada duit banyak,” jelasnya.

Menurut Mohd Asri, kebanyakan manusia menyukai kedudukan tapi bukan semua manusia mempunyai keupayaan untuk memimpin.

Tambahnya, perjuangan menentang rasuah merupakan perjuangan yang mulia tetapi dalam masa yang sama perlu tahu perjuangan menentang rasuah adakalanya boleh digunakan sebagai modal politik pihak tertentu yang akhirnya mereka mendapatkan kuasa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!