Pencen wakil rakyat RM2 bilion? - Khairul Anwar

Kerajaan digesa untuk menjawab isu dakwaan dana RM2 bilion bagi membayar pencen ahli Parlimen dan bekas ahli kabinet. (Gambar kecil: Khairul Anwar)
Kerajaan digesa untuk menjawab isu dakwaan dana RM2 bilion bagi membayar pencen ahli Parlimen dan bekas ahli kabinet. (Gambar kecil: Khairul Anwar)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk menjawab isu dakwaan dana RM2 bilion bagi membayar pencen ahli Parlimen dan bekas ahli kabinet.

Pengamal undang-undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, berdasarkan jumlah tersebut, ia boleh digunakan untuk membina aset penting awam.

Beliau difahamkan mendapat informasi tersebut menerusi sumber dalaman dipanggil 'bluebird'.

"Terperanjat sungguhlah bila dapat tahu sekiranya benar bahawa saraan ahli politik pencen mencecah RM2 bilion setahun.

"Saja buat semakan, wang RM2 bilion boleh bina dua buah hospital canggih (RM1 bilion sebuah).

"Ia juga boleh digunakan untuk bina 10 buah sekolah jika diandaikan kos sebuah sekolah ialah RM200 juta," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Khairul Anwar menambah, beliau juga meminta kenalannya yang merupakan wakil rakyat untuk menanyakan soalan itu.

Beliau juga berkata demikian ekoran kritikan seorang pempengaruh, Muhamad Harris Nasril terhadap kerajaan kerana didakwa ingin memperhalusi subsidi kesihatan kepada rakyat.

Jelasnya, apa yang lebih patut untuk dilakukan kerajaan kini adalah menyemak kembali kos perbelanjaan yang digunakan untuk membayar pencen wakil rakyat.